KUALA LUMPUR: Sebanyak 35 dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memutuskan untuk menolak pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang telah dibacakan kali pertama Mac lalu.
Dengan itu, setakat ini lebih 130 kesatuan sekerja individu telah mengambil pendirian itu.
UNI-MLC mempunyai lebih 100 gabungan.
“Pendirian 35 kesatuan sekerja dan UNI-MLC, yang telah menyatakan ikrar, adalah mana-mana peruntukan dalam RUU ini yang membawa kepada kepelbagaian akan ditolak,” kata Pengerusi Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU), Rudy Rusly (foto) dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.
Kata beliau, CAMU ditubuhkan untuk tujuan tunggal menolak peruntukan berkaiatan kepelbagaian kesatuan sekerja yang bakal diperkenalkan oleh Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 yang dijangka dibacakan kali kedua pada sidang Parlimen Julai-Ogos ini.
Beliau menambah, pihaknya telah diberi mandat untuk meminta penangguhan bacaan kali kedua RUU ini, yang dijadualkan semasa persidangan Parlimen akan datang, bermula 18 Julai 2022, ditangguhkan.
Dalam kenyataan dua minggu lalu, CAMU menggesa agar kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU Kesatuan Sekerja 1959 dan mengadakan dialog dengan kesatuan sekerja.
RUU untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2022.
Rudy berkata, Akta Kesatuan Sekerja 1959 merupakan kaedah kawalan utama kerajaan ke atas landskap buruh yang tersusun, dan lingkungan kawalan ini meliputi hal ehwal dalaman Kesatuan Sekerja selain mengawal hubungan Kesatuan-Pengurusan yang memihak kepada majikan.
“Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan RUU Kesatuan Sekerja tidak membawa penambahbaikan ke atas perhubungan perindustrian atau memperuntukkan persekitaran perhubungan perindustrian yang membina.
“Sebaliknya, ia mengenai kawalan ke atas kesatuan sekerja seolah-olah kesatuan sekerja merupakan antara beberapa organisasi yang mengakibatkan kemudaratan atau berfikiran pengganas, yang berhasrat untuk memusnahkan ekonomi Malaysia dan menyebabkan huru-hara,” kata beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).