KOTA BHARU, 23 Julai: Pengarah Unit Sosioekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Dr Zuohair Rosli dalam ucaptama pada Persidangan Kebangsaan NUBE hari ini telah berkongsi definisi dan takrifan "ketamakan korporat dan miskin jiwa" dengan mendalam.
Dalam menjelaskan apa itu yang dimaksudkan "miskin jiwa", kata beliau, mereka yang ada tanggungjawab tetapi telah gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Mengenai korporat yang tamak, kata beliau, sebenarnya negara kita adalah negara yang kaya dan ekonomi kita sudah pulih. Daripada setiap RM100, jumlah yang dibayar kepada pekerja di Malaysia hanyalah RM36 sedangkan di AS, negara bapa kapitalis, pekerja-pekerja di sana dibayar RM55.
Kenaikan gaji adalah tidak selaras dengan kadar inflasi. Daripada setiap RM1 yang dibayar, RM200 dibayar untuk CEO sektor telekomunikasi dan RM160 bagi CEO sektor perbankan.
Kata beliau, sebenarnya Malaysia, pada tahun 1970 telah ditetapkan nisbah gaji iaitu bagi setiap RM1, CEO hanya akan menerima RM5 hingga RM20.
Beliau seterusnya berkata, dari segi produktiviti, kenaikan gaji seharusnya sama dengan kenaikan produktiviti. "Sepatutnya, kita sepatutnya sediakan gaji minimum pada kadar RM1,500 pada tahun 2013 dan pada hari ini seharusnya RM1,900-RM2,000 dan yang paling wajar adalah RM2,500".
Tambah beliau, CEO menerima kenaikan gaji 10% setahun sedangkan gaji minimum pula hanya sekitar 4-5% pada tempoh yang difikirkan wajar oleh pemerintah. Anggota Kabinet pula menerima gaji sekitar RM45,000 sebulan.
Baru-baru ini Sabah menaikkan gaji elaun wakil rakyat 11-12%. "Di GLC, pengurusan atasan menerima elaun cuti RM250,000 setiap tahun. Macam mana dengan pekerja-pekerja biasa," tanya Zuohair.
Beliau juga berkongsi bahawa bagi setiap RM1 subsidi kerajaan sebanyak 53 sen pergi kepada T20.
Secara keseluruhan ia memberi gambaran sebenar mengenai "ketamakan korporat dan miskin jiwa" di negara kita.