KOTA BHARU, 23 Julai: Presiden NUBE, Sdr Michael Tan menegaskan aspek keselamatan dan kesihatan juga merupakan hak asasi manusia dan hak pekerja di tempat kerja.
Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Setiausaha Kehormat NUBE SMJ memberitahu, majikan perlu menyediakan segala kemudahan dan latihan untuk pekerja-pekerja dalam memastikan aspek tersebut menikmati suasana kondusif di tempat kerja.
"Kita kena tahu bahawa keselamatan dan kesihatan ada hak asasi manusia bagi setiap pekerja.
"Majikan, sebagai contoh, perlu menyediakan latihan yang mencukupi untuk pekerja. Memang ada majikan yang buat latihan, tetapi mereka hanya buat untuk pekerja-pekerja atasan, itu pun dibuat secara senyap-senyap," kata beliau ketika menyampaikan ceramah pada Persidangan Kebangsaan NUBE bertemakan "ketamakan korporat dan miskin jiwa" di sini, hari ini.
Dalam ceramahnya, beliau memberikan penjelasan yang terperinci dan mendalam untuk pengetahuan para peserta.
Kurangnya perhatian ke atas aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lain, kata beliau sambil menambah, "perlu ada polisi keselamatan dan kesihatan di setiap tempat kerja."