Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak
Georgetown, Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang 23hb Julai 2022 – Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Bagi Tahun 2022 telah berlangsung hari ini di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 sempena Hari Ulang Tahun Ke – 73 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Dengan sukacitanya dimaklumkan kepada semua warga NUBE, Sdr. Mohamad Ilyas Humayoon Kabeer (Bendahari Kehormat NUBE NR-PKP) dan Sdr. Zainul Ahamad Mydin (Ahli Jawatankuasa NUBE NR-PKP) merangkap Ahli EXCO NUBE Malaysia telah dianugerahkan ‘PINGAT JASA KEBAKTIAN’ (P.J.K.). Pengurniaan Pingat P.J.K. ini dikurniakan kepada orang perseorangan yang telah memberi khidmat bakti yang bernilai atau berjasa atau telah berkhidmat dengan penuh tanggungjawab.
Manakala, Sdri. Harinder Kaur Othum Singh (Ahli Jawatankuasa NUBE NR-PKP) dan Sdr. Cheng Al-Vin (Ahli Jawatankuasa NUBE NR-PKP) telah dianugerahkan ‘PINGAT JASA MASYARAKAT’ (P.J.M). Pengurniaan Pingat P.J.M. ini dikurniakan kepada orang perseorangan yang telah memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat amnya.
Ianya juga merupakan satu sejarah buat NUBE kerana buat kali pertamanya apabila Empat (4) orang Ahli Jawatankuasa NUBE Northern Region -Pulau Pinang/Kedah/Perlis dikurniakan pingat sekaligus pada tahun yang sama, ianya adalah satu pencapaian yang amat hebat dan memberangsangkan.
Pengurniaan ini adalah sebagai suatu pengiktirafan dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada khidmat bakti mereka yang tidak ternilai yang telah dicurahkan kepada NUBE dalam memartabatkan ahli-ahli NUBE serta warga Pekerja selama ini dan ianya amat membanggakan.
Barisan EXCO dan NUBE Malaysia merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada empat (4) Pemimpin NUBE NR-PKP iaitu Sdr. Mohamad Ilyas Humayoon Kabeer, Sdr. Zainul Ahamad Mydin, Sdri. Harinder Kaur Othum Singh dan Sdr Cheng Al-Vin.