KUALA LUMPUR, 1 September: MBSB Bank Berhad berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya dalam sektor kewangan di sebalik iklim pembiayaan yang lebih baik, dan pada masa yang sama "menjalin kerjasama sinergi dengan NUBE untuk memberikan bantuan kewangan kepada pekerja bagi meringankan beban kewangan mereka."
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Berhad, YBhg Datuk Nor Azam M. Taib berkata, "sebahagian penting daripada strategi pertumbuhan kami adalah untuk menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan yang lebih luas dengan tujuan untuk mewujudkan impak sosial yang positif melalui rangkuman kewangan dan pembiayaan bertanggungjawab yang merupakan komponen agenda pembangunan mampan yang lebih besar."
"Di peringkat ini, saya juga ingin menyentuh peranan MBSB Bank dalam bekerjasama dengan NUBE untuk menyediakan sedikit bantuan kewangan kepada pekerja bagi meringankan beban kewangan mereka agar memberi tumpuan kepada peranan mereka dalam Bank," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan NUBE Ke-3, 2022 di Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2022 (Selasa).
YBhg Datuk Nor Azam menambah bahawa sebahagian besar daripada agenda pertumbuhan kami akan memenuhi peranan kami sebagai institusi kewangan Islam dalam melindungi dan memperkasakan komuniti kami melalui pelaksanaan amalan pembiayaan yang bertanggungjawab dan rangkuman kewangan.
"... dan di sinilah kita melihat peluang untuk sinergi dan kerjasama dengan NUBE," katanya lagi.
"Kami faham bahawa ahli NUBE mungkin terjejas secara tidak langsung berikutan beban kewangan, dan kami ingin meringankan beban kewangan ahli NUBE dengan menawarkan pinjaman yang lebih mudah diakses dan bantuan penangguhan pembayaran sekiranya perlu."
Beliau menambah bahawa MBSB Bank bukan sahaja mampu menyediakan salah satu daripada kadar pembiayaan peribadi terendah dalam kalangan bank tempatan untuk semua ahli-ahli NUBE, yang akan membolehkan penggabungan mana-mana pinjaman tertunggak dan untuk menstruktur semula skim pembayaran balik yang lebih mampan, tetapi juga ingin mengambil langkah lebih jauh dengan memastikan bahawa pekerja individu mempunyai akses kepada nasihat kewangan yang sesuai berdasarkan rangkuman kewangan kami melalui pelaksanaan program melalui pembinaan kapasiti dan perkongsian pengetahuan.
Ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Modal Insan Kumpulan, YBrs Farid Basir.