KUALA LUMPUR, 9 Dis - Persekutuan Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Institusi Perbankan & Kewangan (FEBFI) menganjurkan Konvensyen Perwakilan Luar Biasa di Kuala Lumpur pada7 Disember, dengan dirasmikan oleh Presiden Persatuan Komersial Malaysia (MCBA), Datuk Nora Abdul Manaf.
Konvensyen sehari yang bertemakan "Interaksi Manusia Amat Diperlukan Dalam Perbankan Digital" ("Human Interaction Is Indispensable in Digital Banking") disertai oleh lebih 100 peserta, yang terdiri daripada pemimpin kesatuan sekerja, dari seluruh negara.
Turut hadir beri ucapan pada konvensyen yang berlangsung di NUBE House, Brickfields ialah Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Selangor, Puan Ismira Ismail; Pengarah Unit Sosioekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Saudara Zouhair Rosli dan perunding kewangan dan perbankan, Saudari Saachi Nilesih.
Zouhair bercakap di bawah tajuk "Computing Minimum Wage for Financial Sector Workers" manakala Saachi pula mengupas tajuk "Reading Banks Financial Statements for Trade Unions' Better Understanding of Banks' Ability to Pay A Living Wage".
Presiden FEBFI, Saudara Michael Tan Eng Hong, merangkap Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dalam ucapannya, Datuk Nora menekankan keperluan memberi fokus kepada kedua-dua aspek manusia dan teknologi dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan dalam sektor perbankan dan kewangan.
Kata beliau, penekanan kedua-dua aspek itu dengan seimbang amat penting bagi terus menjamin kemajuan dan pertumbuhan dan pada masa yang sama memuaskan para pelanggan.
Pada pandangan beliau, kehadiran manusia atau modal insan masih penting dalam melihat keberkesanan perkhidmatan perbankan yang disediakan kepada orang ramai.
Sementara itu, Michael Tan berkata, walaupun teknologi sedang merevolusikan sektor perbankan dan pelanggan menjana pendapatan, hanya bank yang berjiwa manusia mampu memberikan pengalaman pelanggan yang hebat, yang akan kekal mendahului persaingan.
"Dan Ya, pekerjalah yang mendorong pengalaman pelanggan yang hebat itu," kata beliau.
Beliau seterusnya berkata, bagi kebanyakan majikan, konsep transformasi perbankan digital sering ditafsirkan sebagai potensi untuk memindahkan pekerja.
Katanya, tindakan itu sejak kebelakangan ini telah menyebabkan beban yang besar ke atas kehidupan pekerja-pekerja bank terutama ahli-ahli NUBE.
"Bagi pekerja yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam pekerjaan, prospek kehilangan pekerjaan adalah menakutkan.
"Kami bertuah kerana mempunyai kesatuan yang bergabung dengan FEBFI, yang melindungi kepentingan ahli dalam sektor perbankan.
"FEBFI, yang ahlinya berhadapan dengan gangguan akibat digital, tidak menentang pendigitalan dan automasi. Dalam hal ini, NUBE menerima dan menyokong pekerja untuk dilatih semula atau dipertingkat dan diperkasakan," kata beliau.
Tambah beliau, NUBE berpegang teguh pada pandangan bahawa bank mesti mengamalkan pendekatan kemanusiaan dengan melibatkan kesatuan dalam FEBFI dalam pelan hala tuju mereka ke arah pendigitalan dan perbankan digital.
"Ini adalah jalan ke hadapan, untuk maju," kata beliau.
Zouhari pula berkongsi keperluan menyediakan gaji dan upah yang sepadan dengan paras produktiviti setiap pekerja.
Beliau menolak pandangan dan persepsi tidak adil yang mendakwa kenaikan gaji akan menjejaskan pertumbuhan syarikat.
Sambil menekankan kadar semasa masih rendah, beliau juga menekankan paras gaji minimum yang sewajarnya dibayar kepada pekerja-pekerja di Malaysia, terutama kepada mereka yang bekerja di sektor kewangan.