ALOR SETAR, 29 Disember 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah telah menganjurkan Program 'Townhall' Ancaman 'Scammer' : Penipuan Versus Pengetahuan di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. NUBE PENANG/KEDAH/PERLIS telah diwakili oleh Sdr. Chee Yeeh Ceeu selaku Setiausaha Kehormat dan Sdr. Haji Mohamad Ilyas Humayoon Kabeer, Bendahari Kehormat merangkap Ketua Zon 1 serta beberapa Ahli Jawatankuasa Kerja.
Program yang bermula pada jam 10.00 pagi itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Kedah, YDH DCP Dato' Mohd Roze Bin Shaari.
Hadir sama Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Polis Daerah dan juga Ketua-Ketua Persatuan, Komuniti dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar negeri Kedah.
Program ini dianjurkan bertujuan memberi pengetahuan dan kefahaman kepada masyarakat berkenaan trend jenayah pada masa kini yang makin berleluasa khasnya melibatkan penipuan dalam talian. Selain mendekatkan hubungan diantara polis dan masyarakat, program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan pencegahan jenayah di kalangan masyarakat.
Sesi ini telah dibarisi ahli panel yang terdiri dari Ketua Penolong Pengarah (Pengubahan Wang Haram) JSJK Bukit Aman, SAC Tuan Fazlisyam Bin Abd Majid, CEO Vulsan X Corporations, YBhg. Dr Prakash Christiansen sambil dibantu oleh Duta Anti Scam PDRM, ASP Tuan Rahmat Fitri Bin Abdullah.
NUBE NORTHERN REGION PKP merakamkan jutaan terima kasih kepada SAC Tuan Alzafny Bin Ahmad, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibupejabat Polis Kontinjen Kedah serta ASP Tuan Mahendra Seelan A/L Sathiyeaseelan, Ketua MPV Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Ibupejabat Polis Daerah Kota Setar atas jemputan yang telah diberikan. Semoga kemesraan yang terjalin dapat dimanfaatkan bersama.