Emerald Puteri Hotel Sungai Petani Kedah, 7 Januari 2023 : Permulaan tahun baru di NUBE NR-PKP di mulai dengan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) sehari khusus buat ahli NUBE (IRCs) di sekitar Kedah dan Perlis .
Seminar dimulakan dengan bacaan doa oleh Sdr Mohamad Rizal Othman dan disusuli dengan ucapan alu-aluan serta Sesi pengenalan buat semua peserta yang hadir oleh Setiausaha Kehormat NUBE NR- PKP merangkap Bendahari Agung NUBE Malaysia Sdr Chee Yeeh Ceeu.
Sdr Michael Tan Eng Hong (Presiden NUBE Malaysia, merangkap Setiausaha Kehormat NUBE SMJ) selaku Tenaga Pengajar Kebangsaan, telah mengendalikan seminar OSH dengan jayanya.
Objektif utama seminar ini adalah untuk mewujudkan kesedaran dan kepentingan OSH di tempat kerja. Antara topik yang dikupas sepanjang seminar adalah keperluan berkanun di tempat kerja di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Selain pelbagai seksyen, peraturan dan jadual yang terkandung dalam akta tersebut, para peserta juga berpeluang mempelajari cara penggunaan prinsip-prinsip Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko serta Kawalan Risiko (HIRARC).
Seramai 30 peserta yang menyertai seminar tersebut memberikan maklum balas yang sangat positif memandangkan ia merupakan satu pengalaman pembelajaran baharu dan bermanfaat.
Satu sesi permainan solidariti berkumpulan yang dirangka Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Sdri Siti Haryati Kamal dan Sdr Mohamad Rizal Othman telah mendapat penglibatan semua peserta dengan aktif sekali.
Ucapan penutupan seminar telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden NUBE Malaysia merangkap Pengerusi NUBE NR-PKP iaitu Sdr Abdul Jamil Haji Jalaludeen. Beliau menyentuh betapa pentingnya ilmu OSH ini yang kita boleh terapkan di mana sahaja terutamanya di tempat kerja. Secara kesimpulannya adalah menjadi peranan serta tanggungjawab semua pihak dalam usaha memastikan kemalangan semasa bekerja dapat dibendung dengan persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat diwujudkan. Sijil penyertaan turut disampaikan kepada para peserta sebelum bersurai.
Sdr Abdul Jamil juga mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada Tenaga Pengajar Kebangsaan Sdr Michael Tan Eng Hong dan turut mengalu-alukan kehadiran Sdr Mohd Faisal Husin Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE Malaysia yang hadir sebagai pemerhati serta pasukan Biro Pendidikan yang dipimpin oleh Sdri. Siti Haryati Kamal dan Sdr Mohamad Rizal Othman bagi memastikan seminar berjalan dengan lancar dan berjaya.