PUTRAJAYA, 19 Januari 2023 – Gabungan Kedaulatan Negara telah menyerahkan memorandum membantah langkah Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP) kepada Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Encik Azman bin Abidin.
NUBE diwakili oleh 10 pegawai dari NUBE Cawangan KLSP yang merupakan sebahagian daripada 200 orang yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan.
NUBE merupakan sebahagian daripada Gabungan Kedaulatan Negara yang membantah ratifikasi CPTPP.
Dengan meratifikasi CPTPP lebih banyak hak dan kebebasan akan diberikan kepada pelabur asing untuk merompak kekayaan dan kedaulatan Malaysia.
Kekayaan Malaysia kini disedut sehingga menyebabkan rakyat berada dalam kemiskinan dan dengan meratifikasi CPTPP pada November 2022 lalu, lebih ramai rakyat Malaysia akan terjerumus ke dalam kemiskinan.
Sewajarnya kerajaan harus meratifikasi Konvensyen ILO 87 Kebebasan Berpersatuan untuk memberikan lebih banyak ruang kebebasan kepada kesatuan kerana pada masa ini pihak berkuasa campur tangan dalam aktiviti Kesatuan Sekerja.
Kita berharap Kerajaan akan melakukan apa yang sepatutnya ia lakukan demi Rakyat yang telah mengundi mereka yang berada dalam kuasa untuk melindungi kedaulatan rakyat Malaysia.