Union House, Georgetown, Pulau Pinang, 10 Feb 2023 - Kemeriahan Sambutan Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baru Cina 2023 yang diadakan di Union House Penang telah dihadiri oleh seramai 200 orang Ahli NUBE NR PKP.
Dalam ucaptama Timbalan Presiden NUBE Malaysia merangkap Pengerusi NUBE NR PKP, Sdr Abdul Jamil Haji Jalaludeen menekankan semangat solidariti perlu diterapkan pada semua ahli-ahli NUBE supaya misi serta visi akan dicapai jikalau semua ahli memberi sokongan moral dan perlu ada minda yang positif. Tambahan lagi, ia akan merapatkan lagi hubungan antara pemimpin dengan ahli Kesatuan serta memupuk persefahaman antara ahli yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama.
Beliau juga berdoa semoga Kesatuan NUBE kita senantiasa bergerak utuh ke depan dan dilimpahi dengan kejayaan demi kejayaan bagi warga Pekerja di Malaysia. Gong Xi Fa Chai!
Selepas itu, Sdra Abdul Jamil Haji Jalaludeen bersama-sama Kepimpinan NUBE PKP yang lain turut menggaul 'yee sang', yang menjadi acara tradisi setiap kali sambutan Tahun Baru Cina sebagai simbolik penyatuan solidariti, kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut.
Selain menikmati juadah makanan yang enak, acara Rumah Terbuka ini turut dimeriahkan dengan dentuman mercun serta cabutan bertuah. Ahli-ahli sangat gembira kerana dapat merayakan majlis ini bersama-sama dan dapat dilihat semangat solidariti antara ahli yang terjalin sepanjang majlis berlangsung.
NUBE NR-PKP ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengacara Majlis Sdri Harinder Kaur Othum Singh, Kepimpinan Sayap Wanita dan semua jawatankuasa penyelaras kerja bagi memastikan Majlis ini berjalan dengan lancar dan meriah sekali.