Bengkel Perlindungan Sosial kepada ahli-ahli NUBE dari seluruh cawangan di Semenanjung Malaysia telah berjaya diadakan di Dewan PC Gomez. Saudara J Solomon, Setiausaha Agung NUBE merangkap Presiden SPCAAM telah merasmikan bengkel tersebut. Beliau telah memberikan kata-kata aluan dan mengucapkan terima kasih atas kesudian dan komitmen kepada mereka yang hadir. Turut hadir adalah Saudari A. Karuna, Setiausaha Agung SPCAAM, Saudara Chee YC, Setiausaha Kewangan SPCAAM, Saudara Mike Tan dan Saudara Abdul Jamil, AJK SPCAAM.
Saudara Zul Thye, Pengarah Komunikasi SPCAAM telah dijemput untuk menyampaikan sesi taklimat berkenaan kepentingan perlindungan sosial serta fungsi SPCAAM dalam membantu pekerja-pekerja dalam sektor awam, swasta, badan berkanun,informal serta pekerja migran dalam Perlindungan Sosial.
Objektif Bengkel Perlindungan Sosial ini adalah ingin memperkenalkan SPCAAM serta peranannya demi kepentingan bukan sahaja ahli NUBE, lebih lagi ahli keluarga mereka yang tidak berkesatuan.
SPCAAM memperjuangkan promosi dan pembelaan hak pekerja untuk perlindungan sosial, hak asasi manusia. Ia bertujuan untuk mengurangkan risiko dan kelemahan sosial dan ekonomi, mengurangkan kemiskinan dan kekurangan dalam kalangan pekerja.
Seterusnya, Saudara Zul Thye juga telah mengambil kesempatan untuk turut menerangkan peranan Coalition Against Multiplicity of Unions (CAMU) dalam membantah beberapa pindaan di dalam RUU Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 yang telahpun diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022 yang lalu. NUBE adalah salah satu daripada 39 Kesatuan Gabungan yang membentuk CAMU. Segala aktiviti-aktiviti sepanjang tahun 2022/2023 telah disampaikan dan juga hasil perjumpaan dengan YDP Dewan Negara dan YDP Dewan Rakyat telah diperjelaskan kepada semua yang hadir.
Bagi meneruskan bengkel tersebut, Saudari A. Karuna telah memberikan taklimat lebih lanjut berkenaan intimidasi dan diskriminasi yang berlaku terhadap pekerja-pekerja B40 & M40 Citibank Malaysia Berhad serta BNM yang tidak ambil peduli berkenaan kekayaan negara yang dibawa keluar serta kebajikan Rakyat B40 dan M40. Berapa tindakan-tindakan lanjut yang akan diambil juga di perbincangkan.
Menurut penjelasan Saudari A.Karuna lagi, keseluruhan proses tidak ada ketelusan, keadilan dan yang paling teruk ialah diskriminasi antara pekerja-pekerja di Korea Selatan dan Malaysia. Terma dan syarat Transaction Award yang ditawarkan oleh Citibank Malaysia Berhad adalah umpama ada udang di sebalik batu serta berniat jahat.
Ini, sekaligus membuktikan kepentingan Perlindungan Sosial bagi ahli-ahli NUBE tidak diperdulikan oleh Citibank Malaysia Berhad dan Bank Negara Malaysia yang jelas telah gagal dalam menegakkan keadilan Hak Asasi Manusia
Hak Perlindungan Sosial adalah Hak Asasi Manusia.