PUTRAJAYA: Rang Undang-undang Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 dilihat boleh mewujudkan keadaan ketidakharmonian di tempat kerja.
Itu dakwaan dibuat oleh Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) menerusi memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri, di sini pagi tadi.
Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, pindaan ke atas akta itu dijangka memberi kesan negatif terhadap produktiviti dan membawa impak buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, pihaknya berpendapat RUU ini perlu dikaji semula kerana pindaan dimaksudkan akan memperkenalkan peruntukan berkaitan ‘kepelbagaian Kesatuan Sekerja’.
“Kami difahamkan, RUU ini mencadangkan untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan membenarkan lebih daripada satu Kesatuan Sekerja untuk wujud bersama dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama atau serupa.
“Kepelbagaian kesatuan yang diperkenalkan kerajaan mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2017 yang menyatakan kepelbagaian kesatuan sekerja berkenaan dengan pekerjaan sama bukanlah sesuatu yang baik (dari sudut) keharmonian industri,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, lebih 500 pekerja mewakili 38 kesatuan dan gabungan sekerja berhimpun secara aman di hadapan Bangunan Perdana Putra, di sini bagi membantah RUU berkenaan yang berkumpul sejak pukul 10 pagi turut membawa sepanduk dan kain rentang bagi menyatakan bantahan kerajaan mengkaji semula RUU itu.
Dalam pada itu, memorandum oleh CAMU akhirnya berjaya diserahkan sendiri kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai.
Rudy berkata, antara kesan negatif jika RUU itu diteruskan termasuk ia akan menghakis solidariti dalam kalangan pekerja, suara bersatu ahli-ahli kesatuan akan menjadi lemah, mewujudkan persaingan antara kesatuan sekerja dan menghakis sosioekonomi serta hak pekerja.
Menurutnya, pihaknya juga bimbang akan wujud kelak ‘kesatuan sekerja boneka’ yang akan menjadi alat kepada majikan.
“Justeru, kami mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan untuk memastikan RUU ini ditangguhkan kerana ia melanggar Analisis Kesan Peraturan (RIA) dikeluarkan kerajaan pada 15 Julai 2013 dan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 144.
“CAMU menghantar dua surat kepada Anwar iaitu pada 1 Disember 2022 dan surat kedua pada 2 Mac lalu untuk mengadakan pertemuan, namun sehingga kini tidak berjaya,” katanya.