Dengan keuntungan dikaut bilion-bilion ringgit, sepatutnya tiada masalah untuk menghulurkan bantuan sedemikian, kata Setiausaha Agung NUBE J Solomon.
PETALING JAYA: Bank yang “mengaut keuntungan berbilion-bilion” seharusnya memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada kakitangannya, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).
Setiausaha agungnya, J Solomon memberikan sebagai contoh, bank-bank di Indonesia yang memberi kakitangan dua bulan gaji sebagai bantuan Aidilfitri.
Beliau berkata, kerajaan Indonesia juga mewajibkan sektor swasta membayar tambahan sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada kakitangan sempena perayaan itu.
“Semua bank di Indonesia menyedari bahawa inilah masanya pekerja mereka, khususnya mereka yang berada pada peringkat bawah dalam hierarki gaji amat memerlukan pendapatan tambahan,” katanya dalam kenyataan.
“Bank-bank di Malaysia mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit dan sepatutnya tiada masalah untuk menghulurkan bantuan sedemikian bagi membolehkan umat Islam menikmati sambutan Aidilfitri dengan tenang.
“Ketua pegawai eksekutif bank perlu bertanggungjawab secara sosial dan melakukan perkara yang betul kerana mereka akan membuat lebih banyak keuntungan dari tahun ke tahun.”
Memetik bantuan khas kerajaan negeri Selangor sebanyak RM1,000 bagi penjawat awam di negerinya, Solomon berkata, sektor swasta, “terutamanya industri yang mengaut keuntungan yang besar dengan beroperasi di Malaysia dan menggunakan sumber-sumber negara”, juga harus mengikut contoh tersebut.
“(Sektor swasta) sepatutnya berusaha untuk melakukan yang lebih baik berbanding perkhidmatan awam,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebulan gaji atau minimum RM1,000 bagi penjawat awam di negeri itu, yang akan dibayar selewat-lewatnya pada 21 April, lapor Bernama.