KUALA LUMPUR: Kakitangan perkeranian bank perdagangan hari ini menerima khabar gembira susulan kenaikan gaji hasil pelarasan sehingga 18 peratus.
Ia susulan Perjanjian Kolektif (CA) ke-19 yang ditandatangani Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) bersama Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) hari ini, selepas hampir dua tahun melalui rundingan.
Berucap pada majlis menandatangani (CA) berkenaan, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata perjanjian itu berkuat kuasa bagi tempoh 1 Januari 2021 hingga 31 Disember ini atau sehingga diperbaharui dengan CA yang baharu.
Beliau berkata, terdapat lebih 20 skim dan insentif bukan kewangan dan kewangan yang dipersetujui melalui rundingan antara kedua-dua pihak itu, sekali gus memberi manfaat serta memartabatkan pekerja sektor perbankan terutamanya ahli NUBE.
Antaranya dipersetujui adalah membabitkan pelarasan gaji sehingga 18 peratus, bayaran tunggakan gaji sejak 2021 dan bayaran khas sebanyak satu bulan gaji untuk setiap perayaan utama.
"NUBE dan MCBA bekerja keras bagi memastikan CA kali ini ditandatangani lebih awal dan sekurang-kurangnya ahli-ahli NUBE dapat merasai hasilnya sebelum berakhirnya Ramadan ini," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 17,000 kakitangan perkeranian bank perdagangan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima pelarasan gaji menerusi CA yang baharu. – BERNAMA
Sumber : https://www.bharian.com.my/.../kakitangan-bank-nikmati...