KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) hari ini dengan rasminya menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) Ke-19 selepas berunding selama dua tahun.
CA ini berkuat kuasa bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023 atau sehingga diperbaharui perjanjian yang baharu.
Penyelesaian muktamad ke atas kesemua perkara yang dibangkitkan telah selesai awal minggu lalu, dan dokumen CA ditandatangani di Hotel Majestic, Kuala Lumpur hari ini. NUBE diwakili oleh Presiden, Sdr Michael Tan dan Setiausaha Agung Sdr J Solomon dengan disaksikan oleh Konsultan NUBE, Raghawan Raghawan manakala pihak MCBA, yang merupakan persatuan bagi bank-bank komersial, diwakil oleh Presidennya, YBhg Datuk Nora Abd Manaf dan Pengarah Eksekutif MCBA, YBrs Chua Kim Lin dan disaksikan oleh Pengerusi Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM), YBhg Dato’ Khairussaleh Ramli.
Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah ini yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur ialah Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, kedua-dua NUBE dan MCBA telah bekerja keras untuk memastikan CA kali ini ditandatangani lebih awal dan sekurang-kurangnya ahli-ahli NUBE dapat merasai hasilnya sebelum akhir bulan Ramadan ini.
“Saya ingin ambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli NUBE, barisan EXCO NUBE dan MCBA serta ABM kerana telah menyatakan komitmen yang amat tinggi bagi memuktamadkan CA dengan segera dan memuaskan semua pihak,” kata beliau.
Jelas J Solomon, di sebalik kesemua cabaran, “kita tetap konsisten, profesional dan amalkan pendekatan hormat-menghormati pihak majikan di dalam rundingan ini meskipun dua kali rundingan menjadi tegang dan kita terpaksa memohon campur tangan Pengerusi ABM, Dato’ Khairussaleh Ramli. Akhirnya kita telah mencapai penyelesaian konstruktif bersama.”