KUALA LUMPUR: Standard Chartered Malaysia dan Standard Chartered Saadiq Malaysia terus membantu pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi kesukaran membayar balik hutang berikutan kenaikan kos pinjaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien, berkata pihaknya memahami bahawa peminjam dalam pelbagai saiz, terutamanya perniagaan kecil, mungkin lebih sukar untuk membayar balik ansuran bulanan sejak kebelakangan ini.
"Memandangkan kesejahteraan pelanggan kekal menjadi keutamaan, kami berharap pilihan pembayaran balik kewangan ini dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.
"Pelanggan juga boleh mengoptimumkan simpanan atau deposit cair mereka melalui akaun 'SmartBusiness$aver' yang membolehkan mereka menikmati kadar faedah sehingga 2.88 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Joon Nien berkata, untuk menyokong peminjam perniagaan kecil, langkah bank itu untuk mengurangkan beban mereka dalam tempoh ini termasuklah bantuan penjadualan semula dan penstrukturan semula.
"Pengurus perhubungan akan berhubung dengan pelanggan untuk membincangkan pengurusan aliran tunai mereka dan mencadangkan pelan pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan kewangan individu mereka, mengikut kes
"Selain itu, pelanggan hanya membayar faedah ke atas pinjaman mereka dan dapat mengurangkan jumlah pembayaran balik dan meminimumkan gangguan aliran tunai akibat kenaikan faedah secara mendadak, dengan tempoh pinjaman keseluruhan akan dilanjutkan," katanya.
Beliau berkata, bantuan khas untuk usahawan wanita seperti Moratorium prinsipal selama enam bulan untuk pembayaran balik pinjaman di bawah program Rangkaian Antarabangsa Wanita Standard Chartered (SC WIN) turut disediakan.
"Pelanggan juga diingatkan supaya berhati-hati dengan penipu dan tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen atau wakil Standard Chartered Malaysia," katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya bank-bank terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan PKS yang memerlukan, termasuk bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.
Pada masa yang sama, peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Read More:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0fsw1gZnjwqqxND6jUXuNtqVgsGSa1yyFFRLuy2b1qxpGvbCBuGHMo5vFRhuyrPGZl&id=100064435069723&sfnsn=wa&mibextid=RUbZ1f