25 Julai 2023. Ipoh. Barisan kepimpinan NUBE Ipoh dianggotai oleh Sdr Zubir Ahmad, Sdr Thiagarajan, Sdr Gobiraj dan Sdri Sharon telah menghadiri mesyuarat menyelesaikan aduan di peringkat Cawangan (BLM) di RHB Bank cawangan SOHO.
Suatu penyelesaian yang memuaskan telah dicapai semasa mesyuarat tersebut. Bagi memastikan penyelesaian yang adil dan persekitaran yang lebih selamat untuk ahli-ahli NUBE, pegawai bank berkenaan telah dipindahkan keluar dari cawangan bank tersebut.
NUBE sentiasa memberi keutamaan yang tinggi terhadap keselamatan ahli-ahli di tempat kerja supaya tidak terancam oleh mana-mana pihak.
Semasa lawatan itu, para pemimpin NUBE juga telah mengambil kesempatan ini untuk berjumpa dengan ahli-ahli kita. NUBE memahami kepentingan mendengar suara ahli-ahli dan menangani isu-isu mereka. Beberapa ahli telah mengutarakan kebimbangan mengenai kekurangan kakitangan di cawangan tersebut, yang telah memberi tekanan disamping menyebabkan kelemahan dan gangguan dalam memberi perkhidmatan.
Pemimpin NUBE telah memberikan panduan yang sesuai kepada ahli-ahli untuk menangani isu tersebut. Di NUBE, kita sentiasa bersedia untuk menyokong dan mewakili ahli-ahli dalam membantu dan mengatasi perkara yang mempengaruhi kesejahteraan dan hak-hak mereka.
Para pemimpin NUBE berterima kasih kepada ahli-ahli kerana membawa perkara-perkara ini kepada perhatian NUBE, kerana ia membantu kami memahami cabaran yang dihadapi oleh mereka . Pastinya, kami akan terus berusaha tanpa henti untuk menjaga kepentingan dan berjuang untuk hak ahli NUBE.
Ahli juga telah mengutarakan perihal pengorbanan kepimpinan tertinggi kesatuan iaitu Presiden, Setiausaha Agung & Pen Setiausaha Agung yang bertungkus-lumus, tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk menjayakan CA yang bersejarah kali ini. Ahli turut menzahirkan rasa terharu dengan perolehan tunjangan perayaan yang berjaya dibawa kemeja perbincangan oleh para perunding NUBE. Mereka juga melahirkan rasa berterima kasih yang tidak terhingga kepada para pemimpin NUBE.