KUALA LUMPUR 11 Okt - Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) kekal membantah tindakan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kesatuan Sekerja di Parlimen pada Isnin lalu.
RUU tersebut telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2023, setelah RUU asal yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022 terbatal ekoran pembubaran Parlimen ke -14 pada 10 Oktober 2022.
Kali ini, di dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas 2023, RUU tersebut telah diluluskan pada 10 Oktober 2023.
Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, pihaknya telah membantah sebahagian daripada RUU ini sejak tahun lepas apabila RUU tersebut dibentangkan selepas bacaan pertama.
Katanya, segala pandangan dan cadangan CAMU telah disampaikan kepada beberapa ahli Parlimen, Ketua- Ketua Politik, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan juga pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia serta Ketua Pegawai dari agensi Kementerian Sumber Manusia.
"Sememangnya, CAMU melihat proses meluluskan RUU tersebut ibarat satu misteri dan proksi kepada sesuatu agenda yang sememangnya menekan warga pekerja Malaysia.
"Ia telah dijalankan dengan begitu pantas sekali dan secara tergesa-gesa tanpa mempedulikan keluh resah warga pekerja yang sentiasa terdedah kepada eksploitasi yang berterusan.