Raub– Ahli-ahli PBB Raub telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan yang telah dipengerusikan oleh Naib Pengerusi NUBE KLSP, Sdr Mohd Faisal Bin Husin bersama-sama AJK cawangan NUBE KLSP iaitu Sdr Yushamizan Bin Yusoff.
Turut hadir membantu ialah dua orang AJK Kerja Bahagian Pahang iaitu Sdr Baharudin Bin Jelah dan Sdr Jamaludin Bin Ismail. Kehadiran wakil-wakil NUBE KLSP telah disambut mesra oleh Pengurus Cawangan Pn. Tan Kwee Yoong.
Mesyuarat selama 2 jam itu telah dijalankan dengan lancar. Pelbagai isu dan permasalahan kerja telah diajukan oleh ahli-ahli berkaitan tentang tuntutan kerja lebih masa yang tidak dibayar, lambakan tugasan serta tekanan bekerja disebabkan kekurangan kakitangan, sikap pengurusan perlu dibaiki, tugasan yang tidak mengikut skop pekerjaan serta beberapa isu-isu yang lain.
NUBE KLSP telah menasihatkan kepada ahli-ahli berkenaan tindakan yang perlu mereka lakukan dalam menangani perkara sebegini dan memberikan jaminan bahawa NUBE tidak akan membiarkan sebarang bentuk penindasan ke atas ahli-ahli NUBE berterusan. Mereka juga dinasihatkan untuk segera menghubungi NUBE sekiranya perkara-perkara tersebut didapati berlaku di cawangan Raub.
Mesyuarat tersebut ditamatkan dengan semangat dan keyakinan baru ahli-ahli NUBE di PBB Raub. Mereka juga tidak sabar untuk menghadiri semua kursus yang ditawarkan oleh NUBE bagi memastikan kesejahteraan mereka di tempat kerja akan dapat dipelihara dengan ilmu pengetahuan yang diperolehi nanti.