17hb November 2017, Merdeka Beach Resort, Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah – NUBE Northern Region P/K/P telah menganjurkan Intermediate Level Seminar bagi memperkasakan Jawatankuasa Penyelaras (IRCs) tentang kepentingan hak dan kebajikan mereka sebagai pemimpin di tempat kerja mereka.
Seminar selama 3 hari tersebut telah disertai 29 orang yang terdiri daripada Jawatankuasa Penyelaras (IRCs) aktif dan telah dikendalikan oleh Tenaga Pengajar NUBE Malaysia iaitu Sdr. Chen Ka Fatt dan dibantu oleh Sdr. Chee Yeeh Ceeu. Antara topik yang telah diberi kupasan dengan lebih mendalam adalah tugas dan tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa penyelaras, pengendalian pengaduan, perjanjian bersama dan perlembagaan NUBE.
Para peserta yang hadir merakamkan rasa sangat bersyukur kerana di beri peluang keemasan untuk menimba ilmu pengetahuan dan hasil daripada seminar tersebut, ianya telah menyuntik lagi semangat solidariti untuk terus berbakti kepada NUBE. Para perserta juga telah mengambil bahagian dalam beberapa sesi permainan “Think out of the box” secara berkumpulan yang telah dikendalikan oleh Biro Pendidikan NUBE NR iaitu Bro Mohamad Ilyas bersama-sama dengan Sdri Siti Haryati Kamal.
Upacara penutupan seminar tersebut telah disempurnakan oleh Sdr Abdul Jamil Haji Jalaludeen, Timbalan Presiden NUBE Malaysia merangkap Pengerusi NUBE Northern Region. Beliau menekankan tentang perlunya para ahli untuk menjadi analytical thinker dalam usaha memastikan kedudukan mereka masih relevan di sektor perbankan. Sdr Abdul Jamil juga telah menyentuh tentang isu fintech yang kini menjadi satu ancaman yang amat ketara kepada pekerja-pekerja di sektor perbankan.
Di akhir ucapannya beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada Biro Pendidikan iaitu Sdr. Mohamad Ilyas dan Sdri. Siti Haryati Kamal bagi memastikan semua program serta logistik berjalan dengan berjaya dan lancar.
Majlis di akhiri dengan penyerahan sijil penyertaan kepada para ahli oleh beliau bersama-sama dengan Sdr. L. Baskaran, Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE Malaysia merangkap Naib-Pengerusi NUBE Northern Region.
Akhir kata, diucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan seminar ini.