Naib presiden dan penganalisis kanan Moody, Simon Chen berkata, persekitaran itu memberi sokongan kepada bank Malaysia di samping membantu menstabilkan kualiti aset dan keuntungan.
KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service menyatakan prospek bagi sistem perbankan Malaysia adalah stabil (A3 stabil) dalam tempoh 12-18 bulan akan datang disokong keadaan makroekonomi yang kukuh dalam dan luar negara.
Naib presiden dan penganalisis kanan Moody, Simon Chen, dalam satu kenyataan hari ini berkata, persekitaran itu memberi sokongan kepada bank Malaysia di samping membantu menstabilkan kualiti aset dan keuntungan.
Dalam masa yang sama, katanya, pertumbuhan pinjaman lebih pantas dijangkakan, kekal pada kadar yang lebih perlahan daripada pengekalan keuntungan bank, yang membawa kepada penampan modal lebih kukuh.
Rumusan Moody itu terkandung dalam laporannya yang baru dikeluarkan bagi bank Malaysia bertajuk, “Robust Macro Conditions and Improving Capitalisation Support Stable Outlook,” dan dikarang oleh Chen.
Prospek stabil itu adalah berdasarkan kepada penilaian Moody terhadap 6 pemacu, iaitu persekitaran operasi (stabil), kualiti aset (stabil), modal (bertambah baik), pembiayaan dan mudah tunai (stabil), keuntungan dan kecekapan (stabil) dan sokongan kerajaan (stabil).
Mengenai persekitaran operasi, Moody berkata meskipun keadaan makroekonomi terbukti kukuh, ketidaktentuan dasar memberi risiko dan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berkembang sebanyak 5.4% pada 2018, dan pinjaman meningkat 6-7% dalam tempoh yang sama.
Penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan meningkatkan penggunaan swasta dan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, ketidakpastian mengenai perubahan dasar masa pada masa depan oleh kerajaan baru akan mempengaruhi sentimen pelabur dan perniagaan sepanjang 2018.
Mengenai kualiti aset bank, Moody berkata ia dijangka kekal stabil dalam keadaan tekanan berkurangan dalam kalangan syarikat korporat yang bermasalah dan pertumbuhan perlahan paras hutang isi rumah.
Pembentukan pinjaman tidak berbayar baru akan kekal perlahan dalam keadaan kenaikan sederhana kadar faedah, apabila keuntungan bertambah baik dan pertumbuhan pinjaman isi rumah berisiko berkurang.
Bagi permodalan, parasnya akan meningkat apabila penjanaan modal mengatasi pertumbuhan aset, dan terbukti mencukupi untuk mengimbangi pelarasan sekali berbanding nisbah modal bagi memenuhi standard MFRS 9.
Moody juga berkata pembiayaan dan mudah tunai bank dijangka kekal stabil.
Nisbah pinjaman berbanding deposit bank terutamanya, akan meningkat apabila pertumbuhan pinjaman melonjak, tetapi nisbah itu kekal di bawah 100%.
Selain itu, bank akan kekal berada dalam kedudukan selesa untuk memenuhi keperluan minimum di bawah peraturan mudah tunai dan pembiayaan Basel III.
Mengenai keuntungan, Moody berkata hasil yang bertambah baik — dirangsang oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih pantas — akan menyokong profil keuntungan bank.
Pertumbuhan pinjaman lebih pantas akan meningkatkan pendapatan pra-peruntukan, walaupun persaingan sengit dalam deposit akan mengehadkan peningkatan margin faedah bersih.
Kos kredit akan meningkat disebabkan oleh standard baru MFRS 9, tetapi hanya sedikit berikutan keadaan kredit yang terus rendah.
Sokongan kerajaan terhadap bank semasa tempoh sukar dijangka berterusan.
Pembaharuan perundangan baru-baru ini tidak membayangkan sebarang peralihan dalam dasar kerajaan bagi resolusi bank bermasalah selain pembubaran, dengan kurangnya undang-undang untuk memaksa pemiutang bank menanggung kos sebarang usaha menyelamatkan bank.
Moody memberi penarafan kepada 11 bank di Malaysia – 8 bank perdagangan konvensional, sebuah bank pelaburan, sebuah bank Islam dan sebuah institusi kewangan pembangunan milik kerajaan.
Bank perdagangan yang diberi penarafan menyumbang kira-kira 85% daripada jumlah pinjaman dan deposit dalam sistem perbankan Malaysia pada akhir 2017.
Moody juga mengekalkan prospek stabil bagi sistem perbankan Malaysia sejak 2010.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/18/moody-kekalkan-prospek-stabil-bank-malaysia/