17 Feb 2025

BERITA NUBE



Ahli NUBE: Ini Melibatkan Anda, Bukan "Mereka"

Hampir tujuh dekad selepas penubuhannya pada 1958, NUBE masih kekal sebagai kesatuan yang utuh.

Ternyata ia sememangnya salah satu daripada komponen paling kuat dalam MTUC, apabila hampir setiap hari menggempur internet - malah juga jalanan dan mahkamah di negara ini bila diperlukan - demi berjuang untuk 15,000 ahlinya.

Walaupun peredaran masa tidak melenturkan semangat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank, api perjuangan ahli-ahlinya perlu disemarakkan semula, kata setiausaha agungnya Joseph Solomon.

Ini amat penting, katanya, jika NUBE mahukan perpaduan demi mengatasi kejahatan majikan dalam sektor perbankan dan golongan berkuasa yang bersekongkol dengan mereka.

"Ada yang menganggap saiz menjadi penentu sejauh mana kekuatan sebuah kesatuan, namun hakikatnya semangat ahlinya menjadi pendorong yang menentukan sejauh mana ia mampu pergi," kata Solomon.

"Perpaduanlah kuncinya - kita perlukan setiap orang di sini untuk berjuang dalam setiap pertempuran dihadapi kesatuan. Apabila isu tertentu mempunyai kesan terhadap kumpulan tertentu NUBE, mereka yang mengintai dari luar tidak boleh berkata "oh, ini tidak melibatkan saya, jadi saya tak perlu ambil tahu." Apa yang akan terjadi jika anda sampai satu peringkat apabila tiada lagi sesiapa yang dapat berjuang untuk anda?

Kisah Seorang Yang Tidak Berjuang Untuk Sesiapa

Untuk menekankan hujahnya, Solomon memetik kata-kata diungkapkan Martin Niemöller, pengkritik lantang Adolf Hitler, yang mengakui bagaimana beliau pada awalnya bersubahat dengan fahaman Nazi ketika Perang Dunia II, sebelum akhirnya berubah pendirian.

Bawah: Petikan Daripada Martin Niemölle

Bercerita mengenai Nazi, Niemöller berkata:

Mula-mula mereka memburu komunis dan saya tidak bersuara - kerana saya bukan seorang komunis.""Kemudian mereka memburu Yahudi, dan saya tidak bersuara - kerana saya bukan Yahudi.

"Kemudian mereka memburu ahli kesatuan, dan saya tidak bersuara - kerana saya bukan ahli kesatuan."

"Kemudian mereka memburu Katolik, dan saya tidak bersuara - kerana saya bukan Katolik."

"Kemudian mereka memburu saya - dan tiada seorangpun yang tinggal yang dapat bersuara memperjuangkan saya."

NUBE lebih perlukan pejuang di lapangan berbanding jumlah "like" dalam talian.

Solomon memberi penekanan terhadap ayat terakhir Niemöller, khususnya keadaan malang yang mungkin diwujudkan ahli NUBE untuk diri sendiri kerana tidak berjuang demi kebaikan sejagat kesatuan bila diperlukan.

"Bila kita mengadakan piket, kita memerlukan ahli kita hadir secara fizikal. Kita perlukan pejuang di lapangan lebih banyak daripada jumlah "like" dalam talian," kata pemimpin NUBE itu.

"Adalah penting supaya ahli NUBE terlibat dalam setiap aktiviti kempen, untuk pihak Kesatuan menjangkakan kejayaan dalam setiap apa dilakukannya."

Menurut Jabatan Hal Ehwal Kesatuan, terdapat 756 kesatuan di Malaysia dengan jumlah keahlian melebihi 1 juta pada akhir 2023 - iaitu tidak banyak perubahan berbanding lima tahun sebelumnya, apabila 762 kesatuan dan keahlian bawah 950,000 dilaporkan pada 2019.

Bawah: Joseph Solomon,
setiausaha agung NUBE

Bagi Solomon, angka ini sekadar statistik.

"Apa yang membuktikan kekuatan kesatuan sejati adalah apabila ahlinya semua berganding bahu bila kesatuan berkenaan diserang," katanya. "NUBE bangga dengan 15,000 ahlinya. Tetapi sejauh manakah 15,000 ahli ini komited dengan kesatuan? Adakah anda nampak 15,000 ahli ini dalam setiap kempen kami?"

"Satu-satunya cara kempen kami boleh lebih diperkuatkan adalah dengan penyertaan ramai. Kekuatan sejati yang didukung ahli-ahli saya tiada tolok bandingnya.

Untuk menggambarkan apa yang diharapkannya, Solomon memetik satu lagi bentuk jaminan sepertimana disuarakan ahli ekonomi, pakar undang-undang dan reformis sosial India, Bhimrao Ramji Ambedkar kepada pengikutnya.

"Bangkit demi hak kita, berjuang demi hak kita, dan usah berpaling sehingga kita memenangi hak kita," kata Ambedkar kepada pengikutnya.

"Anda berjanji melakukan bahagian anda. Saya berjanji melakukan bahagian saya. Dengan keadilan di pihak kita, saya tidak nampak kemungkinan kita akan kalah dalam perjuangan kita."

Seruan lantang kepada ahli NUBE: Tonjolkan kekuatan anda ketika kempen kesatuan

Untuk menyuntik semula semangat dalam NUBE, Solomon menggesa ahli-ahlinya supaya aktif melibatkan diri dalam semua kempen kesatuan itu.

"Saya mahu mengubah cara pemikiran ahli NUBE, untuk mengeluarkan mereka daripada keadaan pasif mereka kini kepada keadaan yang aktif sepenuhnya. Kita perlu membuktikan dalam NUBE bahawa kita sememangnya satu untuk semua dan semua untuk satu. Tindakan industri dan kempen lain memberikan kita peluang untuk menunjukkan kekuatan dalam isu yang kita perjuangkan secara kolektif."

Memandangkan sikap permusuhan semakin ditunjukkan oleh majikan terhadap pekerja dalam sektor perbankan, ahli NUBE perlu menggalas tanggungjawab dan memimpin agenda kesatuan dengan penuh semangat," kata Solomon.

"Ini perlu kita lakukan dari semua sudut - daripada turun ke jalanan untuk memprotes apa yang dilakukan oleh pihak bank dan institusi lain terhadap kita - sehinggalah memaksimumkan kelantangan suara bagi kempen dalam talian kita."

"Bila ahli NUBE nampak sesuatu kisah atau kenyataan dibangkitkan oleh kesatuan, mereka mesti mempunyai keinginan membara untuk mengongsikannya selain memikirkan cara bagi memastikan kejayaan kempen itu."

"Umpama dalam perlawanan bola sepak, apabila pemain mendapat bola, dia patut memikirkan cara meningkatkan skor dan bukan semata-mata menghantar bola kepada pemain lain. Bagi kempen dalam talian, kita patut mengongsikannya bersama individu yang diketahui akan turut mengambil tindakan sama."

Bank Dan Menteri Sumber Manusia Sim - Ancaman Terang Lagi Nyata Terhadap NUBE

Bawah: Menteri Sumber Manusia Malaysia Steven Sim

Solomon berkata cara pemikiran ahli NUBE perlu berubah kerana bank tidak akan segan-silu dalam menindas pekerja mereka, terutamanya melihat bagaimana Menteri Sumber Manusia Steven Sim menggunakan sepenuhnya kuasa jawatannya demi memanfaatkan pihak bank.

"Daripada menafikan bantuan perayaan tahunan untuk ahli kami hinggalah mengelak rundingan dalam penyelarasan gaji mereka, pihak bank dengan liciknya menggunakan semua helah dari segi undang-undang untuk melumpuhkan kita," kata pemimpin NUBE itu. "Dan Menteri Sim begitu murah hati menghulurkan bantuan kepada mereka bila saja diperlukan dengan mengkhianati pekerja yang beliau dipertanggungjawabkan untuk melindungi."

Apa yang membimbangkan Solomon adalah usaha mengubah naratif oleh 17 ahli MCBA, dalam percubaan menggunakan Sim untuk "menghapuskan NUBE dari sektor perbankan."

Beliau masih ingat betapa NUBE pernah mempunyai keahlian yang jumlahnya dua kali ganda berbanding ketika ini.

Kebanyakan keahlian itu luput akibat percantuman dan pemerolehan dalam sektor perbankan Malaysia, yang dimulakan dengan bersungguh-sungguh pada hujung 90-an, diikuti pada tahun-tahun berikutnya susulan pengautomatan dan penyumberluaran yang membawa kepada lebihan pekerja, serta gangguan teknologi yang mewujudkan perbankan 'boutique' dan institut kewangan khusus yang merampas perniagaan daripada ahli MCBA sendiri.

"Tak cukup dengan itu, berlaku pula kenaikan pangkat kakitangan "buatan" yang diwujudkan MCBA, apabila kerani bank tiba-tiba bertukar menjadi pegawai dan eksekutif, seterusnya menghalang mereka daripada terus menjadi ahli NUBE. Bagi pekerja biasa apabila memakai tali leher dan diberikan meja cantik dalam ruang pejabat, kadangkala sesuatu yang terasa hebat. Kita menggelarkan ini sebagai kenaikan pangkat buatan kerana mereka yang kononnya dinaikkan pangkat tetap melakukan 90% tugas perkeranian dengan ada masanya cuma mendapat kenaikan gaji 10% saja."

Solomon berkata, kenaikan pangkat melibatkan penyelarasan gaji lebih besar lazimnya meletakkan sasaran yang tidak masuk akal.

"Mereka yang memilih untuk menerima tawaran seperti ini lazim menjerut diri sendiri apabila dikenakan KPI terlalu tinggi yang perlu dicapai," katanya merujuk kepada Penunjuk Prestasi Utama.

"Mereka ini lambat-laun dipindahkan ke gred jawatan yang lebih rendah gajinya, namun kekal sebagai 'eksekutif'. Malah ada yang dipecat kerana gagal mencapai prestasi ditetapkan.

"Pekerja-pekerja ini boleh memilih untuk keluar daripada jawatan pengurusan, tetapi mereka lebih rela dijadikan pekerja lewah daripada kembali ke NUBE disebabkan ego mereka. Hanya segelintir yang kembali kepada kesatuan. Itulah kisah sedih mereka."

Beliau berkata, secara kesimpulannya, NUBE satu-satunya institusi yang tanpa mengira penat lelah begitu komited menjaga kebajikan pekerja bank.

"Inilah intipati NUBE dan menjawab kenapa kita perlu menyuntik semula semangat dalam kesatuan kita."

* Artikel NUBE ini percuma untuk dipetik, dikongsikan dan diterbitkan semula



 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my