03 Feb 2025

BERITA NUBE



Gangguan Seksual di Maybank: Cara Sepatutnya Ditangani

Selama hampir tiga tahun, beliau mengelak amang seksual bosnya. Beliau memaklumkan pihak pengurusan tertinggi namun mereka tidak melakukan apa-apa, seterusnya membiarkan pahit getir dihadapinya berterusan. Apabila sudah tidak tahan lagi, beliau melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan kesatuannya. Akibat tindakannya, beliau pula dipecat dari tempat kerjanya. Sementara itu, penyeksanya terus kekal memegang jawatannya.

Ini bukannya petikan kisah Hollywood; cuma di Bercham, Perak. Kes itu tidak mendapat rujukan terkenal seantero dunia seperti #MeToo dan #HarveyWeinstein. Namun ia berlaku di institusi kewangan terbesar Malaysia, Maybank – sesuatu yang mengejutkan ramai di negara yang rata-rata lebih konservatif ini.

Sejujurnya penyeksanya dalam kes ini telah dibawa ke mahkamah dan didakwa atas tuduhan gangguan seksual. Rosman Jamaluddin, yang berusia 54 tahun pada 2024, menafikan telah menghantar pesanan WhatsApp lucah kepada rakan sekerja yang berusia 38 tahun itu. Maybank pastinya telah bekerjasama dengan pihak berkuasa sehingga membawa kepada pendakwaannya.

Akan tetapi, apa yang mengecewakan adalah bagaimana pihak bank membiarkan mangsa merana selama bertahun-tahun walaupun mengetahui apa yang berlaku.

Maybank malah turut lebih menambah luka wanita itu apabila pada mulanya menggantungnya daripada kerja, sebelum memotong gajinya kepada separuh pembayaran, dan akhirnya memecatnya. Semua ini berlaku dalam tempoh hanya enam minggu selepas beliau mendapatkan bantuan pihak polis dan kesatuannya.

Bawah: Ibu pejabat Maybank, bank terbesar
Malaysia, di Kuala Lumpur

Fokus Maybank: Mengurangkan Kesan Negatif, Bukannya Bantuan Untuk Mangsa

Hakikatnya, mangsa pasti tetap menderita dalam diam jika tidak kerana keberaniannya sendiri membuat keputusan mendedahkan skandal itu.

Apabila maklum mengenai pahit getir dihadapinya, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank, atau NUBE, segera menuntut remedi sewajarnya daripada Maybank. Pihak pengurusan memanggil pekerja berkenaan, menjanjikan siasatan – yang sepatutnya dilakukan sejak bertahun-tahun sebelumnya lagi – dan mengarahkannya tidak membawa NUBE mencampuri siasatan berkenaan.

Mangsa dapat merasakan bahawa apa yang penting untuk pihak bank sekadar untuk mengurangkan kesan negatif terhadap reputasinya, dan penglibatan NUBE pasti menyukarkan perkara itu. Beliau memaklumkan pihak pengurusan ia tidak melakukan apa-apa untuknya selama tiga tahun, dan kini beliau sendiri mahukan sokongan NUBE. Ketika itulah Maybank mula bertindak jahat. Beliau dituduh ingkar, dan dipaksa bercuti dengan separuh gaji.

Seterusnya, pada 30 Oktober 2024 — tepat dua tahun setengah selepas melaporkan kes itu kepada polis pada 16 Ogos – Maybank memecatnya.

“Sementara itu, saya percaya Rosman masih bekerja,” kata A. Karuna, penolong setiausaha agung di NUBE.

Meskipun Maybank menunjukkan kegagalan moral yang begitu mengejutkan dalam kejadian ini, terlintas juga di fikiran apa yang sepatutnya boleh dilakukan bank itu dalam keadaan berkenaan.

Banyak contoh di seluruh dunia menunjukkan tindakan sepatutnya diambil bank utama Malaysia ini sebaik dimaklumkan mengenai skandal itu.

Untuk tujuan artikel ini, mari kita lihat pada satu contoh melibatkan Thomson Reuters, perkhidmatan berita dunia berpangkalan dunia yang juga penyedia maklumat pasaran.

Bawah: Ibu pejabat Thomson Reuters di New York
ketika kes gangguan seksual pada 2016.

Contoh Reuters: Bertindak dengan Mulia dan Segera Demi Kepentingan Mangsa

Dalam keadaan yang menunjukkan fakta begitu sama, cuma dalam tempoh lebih singkat iaitu 10 bulan, seorang editor utama bagi rantau Amerika di Reuters telah menghantar pesanan menjijikkan berbentuk serupa kepada seorang wartawan wanita, mendesaknya mengadakan hubungan seks dan mengancam kesan buruk terhadapnya jika enggan akur.

Mangsa pertama kali menemui pengarang berkenaan, Dayan Candappa, di ibu pejabat syarikat di New York City pada Ogos 2014, dan lelaki itu mula menghendapnya menjelang Okt 2015.

Wanita itu cuba mengelaknya, tetapi turut merasai tekanan untuk mematuhinya kerana mangsa menanggung ibu bapanya dari segi kewangan, seterusnya bimbang hilang pekerjaannya.

Menjelang Januari 2016, beliau mula melihat kesan tindakan ini terhadap penilaian prestasinya.

Candappa, ketua jawatankuasa kecil eksekutif Reuters bagi penilaian prestasi, menolak cadangan pengurusnya untuk menarafkannya sebagai“Menjangkau Jangkaan” bagi penilaian mangsa pada 2015 sebaliknya mengurangkannya kepada “Mencapai Jangkaan” sebagai balasan kerana menolak godaannya.

Ketika itulah mangsa memutuskan untuk mengadu kepada jabatan sumber manusia. Aduannya difailkan pada 2 Feb 2016 dan menjelang 19 Feb 19 — kurang tiga minggu kemudian — Reuters memecat Candappa. Bandingkan perkara ini dengan sikap Maybank tidak berbuat apa-apa selama hampir tiga tahun dalam kejadian gangguan di Bercham.

Maybank Tidak Hiraukan Apa Dikehendaki Pekerja Wanita: Keselamatan di Tempat Kerja

Tindakan Maybank dalam isu kejadian di Bercham ini menutup mata terhadap kebimbangan paling utama untuk wanita bekerja di Malaysia: Keselamatan. Kajian pada 2022 menyatakan gangguan seksual sebagai ancaman tempat kerja utama untuk 35% pekerja wanita di negara ini – mengatasi kadar 29% bagi wanita bekerja di dunia.

Hasil kajian oleh Ipsos itu mendapati 52% wanita Malaysia menganggap penghantaran menghantar komen yang tidak diminta atau pujian terhadap rupa bentuk fizikal seseorang sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima – dua kali lebih tinggi berbanding purata di negara lain.

Sebaliknya, lelaki di Malaysia mempunyai kadar penerimaan lebih tinggi berbanding wanita dalam menggunakan bahasa berbentuk seksis, menghantar imej seksual, dan mengongsikan gambar intim seseorang tanpa izin. Ini mungkin menjelaskan kenapa Rosman bertindak sedemikian.

Sejak Maybank mengesahkan respons buruknya dalam kes gangguan seksual di Bercham dengan menyasarkan mangsa, NUBE telah mengadakan pelbagai piket tunjuk perasaan, selain piket besar-besaran pada 7 Sept 2024 yang mendapat perhatian seluruh negara. Namun pihak bank tetap tidak menunjukkan kekesalan.

Bawah: Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat Malaysia
YB Dato’ Sri Nancy Shukr

Malah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia YB Dato’ Sri Nancy Shukri sekalipun mengiktiraf isu itu dan mencadangkan pindaan terhadap Akta Antigangguan Seksual 2022.

Namun, dalam pada pelaku berkenaan telah didakwa di mahkamah, Maybank pula menganggap wajar untuk memecat mangsa.

Setakat awal 2025, NUBE meneruskan usahanya menuntut mangsa dikembalikan jawatannya di Maybank — dan bank itu terus dalam keadaan penafian terhadap kegagalan moral teruk ditunjukkan dalam isu ini.

Pada 29 Ogos 2024, Maybank mengeluarkan kenyataan bersama Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia, atau MCBA, yang turut dianggotainya bersama 16 ahli lain. Ia tegas menafikan bertindak tidak adil terhadap mangsa dalam kes di Bercham. Malah ia turut berusaha menyekat NUBE daripada membincangkan kes itu, dengan memetik kes mahkamah yang masih berlangsung.

“MCBA… dan bank menafikan dakwaan yang dikemukakan oleh NUBE,” menurut kenyataan Maybank yang dinaikkan di X, atau sebelum ini dikenali sebagai Twitter. “Kami memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa tidak ada tindakan yang tidak adil seperti yang didakwa oleh NUBE.”

Kenyataan itu diakhiri dengan pendirian tersebut:

“MCBA, ahli-ahli Bank dan NUBE kini sedang menjalani pelbagai proses undang-undang dan oleh itu tidak dapat mengulas lebih lanjut. Kami menggesa agar NUBE juga menghormati proses tersebut dengan sewajarnya.”

Jelas dari kes Bercham ini, Maybank menganggap lebih baik mengambil pendekatan mengunci mulut.

* Artikel NUBE ini percuma untuk dipetik, dikongsikan dan diterbitkan semula



 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my