23 Dec 2024

BERITA NUBE



Tahukah Anda Bank Negara Mendapat Hampir 36 Sen bagi Setiap Ringgit dibayar di ATM?

Gambar: The Malaysian Reserve

Bank for International Settlements (Bank Penyelesaian Antarabangsa) sangat jelas dalam perkara ini: Bank pusat wujud demi kepentingan rakyat – bukan untuk membuat untung – menurut BIS yang mempunyai sebanyak 60 bank pusat sebagai ahlinya.

Bank Negara Malaysia nampaknya beranggapan berbeza.

Dalam pada rakyat Malaysia lebih maklum mengenai apa yang dibuat dengan RM1 yang mereka bayar untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran tunai atau ATM yang bukan milik bank mereka, satu fakta yang jarang dibincangkan memberi perspektif berbeza terhadap peranan Bank Negara dalam perkara itu.

Ia berkisar mengenai pegangan majoriti bank pusat itu dalam PayNet, yang sejak 2017 menjadi syarikat induk untuk Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd —gedung penjelasan bagi transaksi antara bank atau lebih dikenali sebagai MEPS, yang membolehkan kad debit dikeluarkan oleh satu bank Malaysia digunakan di ATM bank lain.

MEPS yang wujud sejak 1996 pada awalnya memang membawa pembaharuan, apabila malah membolehkan rakyat Malaysia membuat pengeluaran ATM di luar negara pada era kad debit yang berkait dengan Visa atau Mastercard belum diperkenalkan. Itu sesuatu yang boleh dikatakan rekod sejarah.

Namun kisah yang patut mendapat perhatian kita adalah evolusi MEPS sejak itu, dan bagaimana Bank Negara, mengikut rekod, menjana lebih keuntungan mengatasi bank komersial apabila rakyat Malaysia menggunakan kad debit hari ini di ATM selain bank mereka yang mengeluarkan kad itu. Bayaran ATM itu diketepikan hampir dua tahun ketika Covid-19 melanda. Ia diperkenalkan semula pada Februari 2022 selepas pandemik reda, seterusnya menambah beban rakyat Malaysia dari golongan termiskin.

Bawah: Operasi ATM Maybank. Bank pusat, Bank Negara memiliki hampir 36% rangkaian PayNet yang memacu ATM Malaysia. Gambar: Soyacincau

Pengagihan jumlah diraih daripada levi RM1 levy di ATM ini, bergantung kepada pegangan saham dalam PayNet. Bank Negara memiliki 35.5% daripada syarikat rangkaian bayaran itu, iaitu hampir 36%. Sebanyak 64.5%, atau hampir 65% pula dipegang 11 bank komersial yang merangkumi baki pemegang saham PayNet. Ini meliputi Maybank, CIMB, RHB, Public Bank, AmBank, Hong Leong, Affin, Alliance, Bank Islam, Bank Muamalat and Bank Kerjasama Rakyat Malaysia.

Fakta bahawa Bank Negara adalah sebahagian daripada PayNet tidak pernah dirahsiakan: Pendedahan itu dibuat pada Mei 2017, ketika MEPS bergabung dengan syarikat milik penuh bank pusat itu, MyClear, atau Malaysian Electronic Clearing Corp Sdn Bhd, untuk membentuk aturan bayaran baharu itu. Di laman web PayNet juga, Bank Negara disenaraikan sebagai pemegang saham terbesarnya. Apa yang kurang dinyatakan adalah saiz pegangannya.

Maklumat diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan, setakat 3 Okt 2024, Bank Negara memegang 26,895,534 saham dalam PayNet manakala 11 bank komersial berkenaan masing-masing memiliki 4,434,558 (lihat jadual di bawah). Dari segi peratusannya, pegangan bank pusat sebanyak 35.5% itu adalah enam kali lebih daripada bank komersial biasa yang memiliki 5.86% dalam PayNet.

Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Untuk menjadikannya lebih relevan kepada rakyat Malaysia, Bank Negara mendapat hampir 36 sen setiap kali seseorang membayar yuran untuk kemudahan ini di mesin ATM. Sebelas bank komersial dalam PayNet pula mendapat kurang enam sen setiap satu.

Pasti ini bukti paling jelas, betapa bertentangannya amalan ini dengan pendirian BIS bahawa bank pusat tidak patut meraih untung daripada rakyat – khususnya apabila bank pusat itu mengaut enam kali ganda keuntungan diperoleh bank komersial bagi transaksi sama.

Bukan saja salah, malah ibarat “jenayah” apabila Bank Negara Melakukan Sebegini

Kesatuan Kebangsaan` Pekerja-pekerja Bank Malaysia menyifatkan apa dilakukan Bank Negara ini bukan saja salah; malah ia ibarat satu “jenayah”.

“Keuntungan ini diraih hasil tindasan terhadap kelas pekerja yang miskin,” menurut Joseph Solomon, setiausaha agung kesatuan yang lebih dikenali sebagai NUBE itu. “Dan Bank Negara bersubahat dalam hal ini. Di manakah keadilannya?”

Dalam pada peranan Solomon’s sebagai ketua NUBE memberinya keupayaan memelihara kebajikan kira-kira 15,000 pekerja bank di Malaysia, beliau berkata sehingga 22 juta rakyat negara ini yang memiliki akaun bank langsung tidak berupaya terhadap ketamakan sistem perbankan memandangkan agensi yang dimandatkan untuk melindungi mereka – bank pusat – “mementingkan keuntungan berbanding umum.”

Bawah: Joseph Solomon,
setiausaha agung NUBE
Gambar: NUBE

Dan berapakah sebenarnya keuntungan yang dimaksudkan di sini?

PayNet mengisytiharkan hasil sebanyak 544 juta ringgit dan untung bersih 271 juta bagi 2023 hasil fi pengeluaran RM1 ini. Keuntungan terkumpul yang terlunas sepanjang sejarah enam tahun negara itu, adalah sebanyak 1.43 bilion ringgit berbanding saiz aset sebanyak 2.1 bilion.

Secara teorinya, jumlah itu menambah kepada keuntungan besar yang sudah sedia dinikmati industri perbankan Malaysia, dengan 11 bank komersial yang memiliki PayNet mengisytiharkan untung bersih sehingga ratusan juta ringgit – malah dalam segelintir kes, berbilion-bilion – untuk 2023 (lihat jadual di bawah).

Carta dibawah menunjuk jutaan, malah berbilion-bilion, ringgit keuntungan dikaut 11 bank selain Bank Negara bagi tahun kewangan 2023.

Sumber: NUBE

Dalam kes Bank Negara, pegangannya sebanyak 35.5% dalam PayNet membawa kepada untung bersih sebanyak 96.2 juta ringgit bagi 2023.

Namun bank pusat itu pasti menghujahkan bahawa ini sekadar atas kertas, kerana kononnya tidak satupun pemegang saham PayNet mendapat sebarang wang daripada syarikat itu. PayNet berkata di laman webnya bahawa pemegang sahamnya “tidak menerima dividend” daripada sebarang keuntungan.

Dalam kes Bank Negara, sekalipun ia mendapat wang, keuntungan itu akan dimiliki tabung negara pun, untuk diagihkan semula sebagai dividen kepada kerajaan persekutuan, dan pada akhirnya, rakyat.

Jadi, apa yang PayNet lakukan dengan wang diraihnya saban tahun daripada tol ATM ini?

“Lebihan untung sebaliknya dilaburkan semula untuk memastikan infrastruktur pasaran kewangan negara dan ekosistem pembayaran lebih berdaya tahan, kompetitif dan boleh diakses semua,” kata syarikat itu.

Ini Tugas Bank Komersial; Kenapakah Bank Negara “bersekongkol” Dengan Mereka?

NUBE tidak menerima justifikasi diberikan bank pusat itu dan rakan subahatnya di PayNet.

“Anda tidak perlu mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada rakyat, kemudian mendakwa anda melabur semula wang itu dalam infrastruktur demi kepentingan mereka,” kata Solomon.

Beliau menambah:

“Pertama sekali, menjadi tanggungjawab bank komersial untuk menggalas kos bagi infrastruktur perniagaan yang ingin mereka lakukan dengan pelanggan mereka. Bank sudahpun mengenakan pelbagai fi untuk tujuan itu. Kami dapat bayangkan, dengan transaksi ATM sebagai pendapatan paling di peringkat bawahan dalam perkhidmatan bank, kita sepatutnya melihat sikap lebih bermurah hati daripada bank-bank ini terhadap rakyat. Namun jelas tidak. Tiada langsung istilah murah hati. Malah, langsung tiada sekelumit empati.”

Atas : Gambar fail ATM pengguna di Malaysia. Bank Negara mencadangkan bahawa PayNet beroperasi dengan empati demi perbankan umum, bertentangan dengan pendirian NUBE bahawa rangkaian pembayaran itu menguat untung hasil tindasan terhadap kelas pekerja yang miskin. Gambar: NST

Bank Negara menegaskan ini tidak benar. Dalam maklum balasnya kepada permintaan bertulis pertama NUBE pada 3 Okt 2024 bahawa tol RM1 di ATM diketepikan secara tetap, Qaiser Iskandar Anwarudin, pengarah dasar perkhidmatan pembayaran di bank pusat itu membalas dengan berkata “institusi perbankan bersetuju menyerap … kos biasa untuk pelanggan sendiri” yang menurutnya membayangkan bahawa ini mungkin tidak diketahui oleh NUBE.

Wujud kos untuk mengoperasikan rangkaian suis yang menyokong perkhidmatan ATM antara bank, dan kos biasa dikaitkan dengan pemasangan mesin teler, termasuk kos pemasangan dan penyelenggaraan ATM, kos pengisian semula tunai dan perolehan keselamatan yang berkait dengan penyelenggaran ATM, kata Qaiser Iskandar.

Katanya, bank juga telah mengetepikan fi untuk transaksi dalam talian bawah RM5,000 yang dilakukan menerusi rangkaian pemindahan dana segera antara bank “bagi memastikan semua pengguna mampu menikmati manfaat pembayaran digital tanpa sebarang kos”.

Ini mungkin benar, tetapi bank pusat kemungkinan besar masih sukar menjawab soalan berikut yang dibangkitkan Solomon.

Pertama: Berapa banyak daripada tol ATM ini merangkumi dividen tahunan Bank Negara yang diisytiharkan kepada kerajaan persekutuan, iaitu rakyat? Secara relatifnya, adakah berbaloi dengan kesukaran diakibatkan kepada kumpulan pendapatan B40 dan M40, melibatkan golongan yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang serta bergantung kepada setiap ringgit untuk kelangsungan hidup?

Kedua: Bagaimankah bank pusat, sebagai pengawal selia, bersekongkol (berniaga) dengan pihak sama (bank) yang sepatutnya ia pantau?

Jawapan kepada soalan pertama boleh diperoleh secara umum. Keuntungan secara teori sebanyak 96.2 juta ringgit bagi 2023 diperoleh Bank Negara daripada pegangan PayNet merangkumi 3.4% daripada dividen 2.85 bilion ringgit diisytiharkan bank pusat itu kepada kerajaan persekutuan bagi tahun sama. Demi perspektif, tol ATM merangkumi kurang 4% keseluruhan sumbangan Bank Negara kepada tabung kebangsaan – dan itu juga dalam rekod. Sementara itu, kesengsaraan dihadapi rakyat miskin akibat fi RM1 itu sangat nyata.

Bagi soalan kedua pula, satu-satunya respons Bank Negara dalam rekod nampaknya adalah kenyataan yang dibuat pada pelancaran PayNet pada 2017, apabila ia berkata gabungan portal bayaran MyClear dengan MEPS “akan meningkatkan sinergi dan kecekapan menerusi strategi yang diselaraskan demi pembangunan infrastruktur bayaran berkongsi di bawah satu entiti.” Unsur moral aturan ini, seperti dipertikaikan Solomon – iaitu untuk badan pengawal selia bersatu dengan pihak yang sepatutnya dipantau – masih tidak terjawab.

Tol ATM Menambah Kepada Kos Sara Hidup yang Sentiasa Meningkat Di Malaysia

Tanpa melihat kepada faktor berhubung bank pusat ini, apa yang membimbangkan NUBE dan kumpulan pengguna, adalah peningkatan kos sara hidup Malaysia yang terus meningkat, dan bagaimana fi ATM ini menjadi satu lagi ang menyumbang kepadanya.

Data Bank Negara dari 2017 — iaitu tahun PayNet mula beroperasi — menunjukkan hanya dua juta daripada 24 juta dewasa di negara ini tiada akaun bank. Bilangan yang tiada akaun bank kini mungkin lebih kecil sekarang. Namun, sekalipun ia kekal pada jumlah 22 juta, hasil 544 juta ringgit diraih PayNet untuk 2023 mencadangkan seorang individu menyumbang 24 ringgit secara purata terhadap fi ATM setahun. Ini berjumlah dua ringgit sebulan – atau satu pengeluaran setiap dua minggu menggunakan kad bank berlainan dengan mesin ATM di mana wang tunai dikeluarkan.

“Walaupun nampak kecil, ia boleh dilihat sebagai satu beban dan tidak adil, khususnya bagi pekerja berpendapatan rendah dan mereka yang amat bergantung kepada transaksi perbankan kerap demi kelangsungan hidup,” kata Dr Zouhair Rosli, pengarah sosioekonomi di Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia.

Mohd Yusrizal Yusoff, presiden Persatuan Pengguna Kedah turut bersetuju dan berkata, fi ATM itu tidak membawa manfaat yang nyata kepada pengguna malah mengakibatkan mereka rasa dieksploitasi.

Bawah: Rakyat Malaysia beratur untuk mendapat makanan. Tol ATM tahunan mampu menyediakan hidangan murah untuk beberapa hari bagi golongan miskin, kata pejuang pengguna. Gambar: Bernama

"Sebelum ini, kita menggunakan ATM dan sistem antara bank tanpa sebarang caj, namun bank juga tidak merekodkan sebarang kerugian,” kata Mohd Yusrizal. “Kini, syarikat-syarikat ini mengenakan fi tidak masuk akal, yang membebakan umum, khususnya mereka dalam kumpulan berpendapatan renadh. Kita mengeluarkan wang sendiri, tetapi mereka (bank) mengaut keuntungan jutaan ringgit. Walaupun RM1 nampak sedikit, ia amat berharga untuk rakyat, khususnya memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.”

Data tenaga kerja daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan Malaysia mempunyai kira-kira 12 juta pekerja pada 2023, dengan majoriti daripadanya dari kategori berpendatan rendah. Enam dalam 10 mendapat gaji kurang 4,000 ringgit sebulan, manakala tiga dalam 10 mendapat gaji kurang 2,000.

“Akibatnya, ramai tidak mampu merasai kehidupan yang wajar,” kata Dr Zouhair, yang menambah, isi rumah dengan empat orang memerlukan sekurang-kurangnya 6,000 ringgit sebulan. “Andainya ada dua pencari rezeki bagi setiap isi rumah, setiap seorang daripadanya perlu mendapat kira-kira RM3,000 sebulan. Separuh daripada pekerja di Malaysia mendapat kurang daripada RM3,000 sebulan.”

Tol ATM tahunan ini mampu membeli hidangan murah selama beberapa hari untuk golongan miskin, termasuk sarapan wajib seperti nasi lemak dan nasi ayam, katanya.

“RM24 bersamaan belanjawan makan untuk seorang miskin selama dua hari; harga hidangan untuk pelajar miskin di sekolah di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) selama 7 hari; nasi lemak selama 7 hari; nasi ayam selama 3 hari,” kata Dr Zouhair.

Kebijaksanaan BIS seperti yang dinyatakan pada awal artikel ini, mungkin nasihat baik untuk Bank Negara mendahulukan rakyat berbanding keuntungan.

“Perkara pokok bagi bank pusat bukanlah keuntungan, tetapi kepentingan awam,” kata Agustín Carstens, antara pengurus besar paling terkenal BIS yang juga pernah berkhidmat sebagai

BIS yang ditubuhkan pada 1930, dimiliki oleh 63 bank pusat, mewakili negara-negara di seluruh dunia yang keseluruhannya merangkumi kira-kira 95% KDNK dunia. Jika ada agensi yang wajar dipatuhi nasihatnya oleh Bank Negara, inilah dia.

Bawah: Agustin Carstens, bekas pengurus besar di BIS.
Falsafahnya adalah, bank pusat bekerja demi rakyat,
bukan keuntungan.

“Jiwa bagi wang adalah kepercayaan … dan bank pusat mesti kekal dipercayai umum,” kata Carstens. “Mereka mempunyai mandat untuk bertindak demi kepentingan awam: untuk melindungi nilai wang yang mereka keluarkan supaya rakyat mampu membuat keputusan kewangan dengan yakin.”

Tambahnya:

“Bagi jangka panjang, kos daripada kerugian dialami bank pusat tidak penting berbanding kos inflasi luar kawalan dan krisis ekonomi berterusan.”

* Artikel NUBE ini percuma untuk dipetik, dikongsikan dan diterbitkan semula



 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my