23 Dec 2024

BERITA NUBE



SELINDUNG DI SEBALIK MAHKAMAH TAK KAN BANTU BANK ELAK RUNDINGAN GAJI

“Wah, banyak pandai!” ungkapan sinis yang kerap didengar dalam masyarakat Malaysia apabila satu pihak cuba mengambil kesempatan secara tidak adil terhadap pihak lain. Memang cukup sempurna untuk menggambarkan tindakan bank-bank negara ini sejak setahun lalu, apabila menggunakan Mahkamah Perusahaan bagi mengelak berunding dengan pekerja mereka mengenai apa saja isu, daripada bonus perayaan hinggalah kenaikan gaji tahunan.

Namun sejauh manapun liciknya 17 ahli Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia atau MCBA, apa yang pasti adalah: Mereka tidak mungkin dapat mengelak daripada proses sewajarnya dengan pekerja mereka.

“Tidak kira bagaimana mereka cuba memutarbelitkan keadaan dengan kita, tidak mungkin mereka dapat terus melarikan diri daripada tanggungjawab untuk berunding dengan kita,” kata Joseph Solomon, setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank Malaysia.

NUBE, nama lebih lazim digunakan untuk kesatuan ini, sudah biasa sikap MCBA yang sering berdolak-dalik.

Dan menjelang Perjanjian Kolektif atau CA yang dirunding setiap tiga tahun antara kedua-dua pihak, kini dilihat antara masa paling tak munasabah untuk kesatuan itu apabila bank berkenaan menunjukkan “sikap terburuk mereka,” menurut Solomon.

Beliau menambah: “Inilah masanya bank-bank akan mencari apa saja helah dan muslihat untuk memanipulasi peraturan berkait dengan CA. Sejak kebelakangan ini mereka mula menggunakan Kementerian Sumber Manusia sebagai senjata, dan ini digunakan pada setiap peluang dengan dibantu menteri yang begitu berminat tunduk akur kepada kepentingan mereka, bukannya kebajikan pekerja yang sepatutnya menjadi tanggungjawab beliau untuk melindungi. Pihak bank menganggap CA ini sebagai perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka. Mata pencarian 15,000 pekerja yang menyokong mereka juga sekadar satu bahan jenaka untuk mereka. Dan menteri ini membantu mereka untuk menjadikan keseluruhan proses ini menjadi satu komedi.”

Semuanya Bermula dengan Pengabaian Tugas Seorang Menteri

Bawah: Menteri Sumber Manusia Steven Sim

Menteri, Steven Sim, mempunyai peluang untuk membetulkan keadaan untuk pihak bank dan kesatuan ketika perjanjian mengenai Bantuan Perayaan atau lebih dikenali sebagai FA, menjadi pertikaian, tahun lalu.

FA itu dimeterai kedua-dua pihak pada 2023, yang memberikan pekerja bank sebulan gaji tambahan tahun itu untuk satu daripada empat perayaan utama negara ini: Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Krismas. Namun setibanya 2024, MCBA enggan meneruskan pemberian bonus itu dengan mendakwa FA itu telah luput tarikh pada masa itu. Ia merujuk kepada klausa dalam perjanjian 2023 itu yang mengatakan “kedua-dua pihak bersetuju bayaran ini boleh disemak semula pada tahun berikutnya.”

NUBE berkata klausa itu dimasukkan untuk merunding jumlah bonus, bukannya perjanjian FA itu sendiri.

Langkah seterusnya, apabila wujud pertikaian antara NUBE dan MCBA, “jawatankuasa tetap bersama” mesti dibentuk untuk menyelesaikan isu itu. Tetapi MCBA memintas prosedur itu dalam isu FA, dengan meminta ketua pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan bertindak sebagai timbang tara dalam isu itu tanpa memaklumkan NUBE.

Kesatuan itu yang pada mulanya terkejut, kemudian menuruti langkah diambil bank berkenaan. NUBE berbincang dengan MCBA untuk dua sesi perdamaian bersama ketua pengarah perhubungan perindustrian, yang menggesa perbincangan lanjut diadakan apabila kedua-dua pihak terus menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, selepas dua sesi perdamaian, lebih banyak kejutan diterima NUBE. Menteri Sim muncul di pejabat MCBA untuk membawa isu FA ini – sekali lagi, tanpa pengetahuan awal pihak kesatuan. Menteri yang hanya berbincang dengan pihak bank, mengisytiharkan bonus separuh bulan untuk 95% daripada 15,000 ahli NUBE, dan bonus sebulan penuh untuk baki 5% daripada mereka. Bonus itu adalah bayaran sekali saja menurut laporan berita yang memetik beliau.

Apabila pihak bank mula membayar bonus perayaan yang diubah suai ini ini, NUBE membuat laporan polis terhadap Sim kerana menyalahgunakan kuasanya berhubung isu itu dan tidak berunding dengan pihak kesatuan. Artikel berita mengenai pengumuman FA yang dibuat oleh menteri itu kemudian secara misteri hilang daripada pelayan dalam talian. Sama ada Sim memainkan peranan dalam perkara itu boleh didebatkan. Namun beliau pasti memainkan peranan dalam perkara lain: memanjangkan pertikaian FA kepada Mahkamah Perusahaan untuk memenuhi kehendak pihak bank.

Mengheret CA, Bersama FA, ke Mahkamah

Kita tiba pula ke tahun 2025: Bukan saja FA berada di tangan mahkamah, malah CA kini juga begitu.

Bagaimana Perjanjian Kolektif sampai ke mahkamah – sedangkan rundingan untuk pusingan terkini belum bermula sekalipun – merupakan muslihat yang semakin menjadi sinonim dengan MCBA, kata Solomon.

Persatuan perbankan itu memulakan proses berkenaan kononnya dengan cara tidak memudaratkan, apabila menggambarkan cadangan CA kepada NUBE seawal Disember 2023- sedangkan mengikut norma, pihak kesatuan sepatutnya menyerahkan tuntutannya terlebih dulu.

Tindakan itu julung kali seumpamanya dari pihak bank, dan mencetuskan syak di pihak NUBE.

Ternyata apa dirasai NUBE terbukti benar.

Dalam pada NUBE berusaha mendapatkan tarikh untuk kedua-dua pihak memulakan perbincangan megnenai CA, ia turut meminta FA bagi 2024 dibayar sebulan lebih awal sebelum Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 10 Februari tahun itu.

Ketika itulah pihak kesatuan menyedari apa sebenarnya niat MCBA: FA semata-mata untuk 2023; bayaran sekali saja.

Sudah pasti NUBE memprotes, seterusnya membawa kepada campur tangan menteri yang membawa kes itu di hadapan Mahkamah Perusahaan.

Pihak Bank Cuba Menyekat NUBE Selepas Memungkiri Bantuan Perayaan

Berhubung CA sendiri pula, tuntutan MCBA adalah supaya NUBE menghentikan protes terhadap bank mengenai Bantuan Perayaan, sebagai syarat supaya rundingan mengenai Perjanjian Kolektif dimulakan. Sedangkan mereka tahu dua isu itu adalah perkara berasingan.

Susulan keengganan MCBA menghormati FA itu, NUBE melancarkan kempen untuk menggesa persatuan perbankan itu menghormati traidisi tahunan yang malah lazim diamalkan di Indonesia — di mana institusi Malaysia seperti Maybank dan CIMB membayar bonus sebulan penuh atau lebih untuk perayaan kepada kakitangan Indonesia mereka.

Bawah: Maybank di Jakarta, Indonesia

Pendirian NUBE berhubung CA adalah, ia isu berasingan daripada FA. Pendirian NUBE juga adalah, ahlinya mempunyai hak untuk mengutarakan secara umum semua rungutan yang membelenggu mereka.

Sudah pasti MCBA mempunyai pandangan berbeza. Sebagai balasan kepada NUBE, ia terus merujuk CA berkenaan kepada jabatan perhubungan perusahaan, sepertimana dilakukan dengan FA. Apabila ketua pengarah jabatan itu menulis kepada NUBE, menyoal sama ada perbincangan perdamaian patut bermula untuk CA, kesatuan menjawab, rundingan belumpun bermula berhubung Perjanjian Kolektif untuk membolehkan sebarang cubaan perdamaian oleh jabatan itu.

Kesatuan menanti jawapan daripada jabatan berkenaan. Sebaliknya, ia mendapat satu lagi campur tangan di peringkat tertinggi daripada Menteri Sim, yang memanjangkan isu itu juga kepada Mahkamah Perusahaan – seterusnya memenuhi keinginan MCBA untuk kali kedua.

“Apa yang bank sebenarnya mahukan adalah untuk mahkamah membatalkan keseluruhan perjanjian Bantuan Perayaan, bukan sekadar mempertikai tafsiran kami mengenainya,” kata Solomon. “Dan walaupun Bantuan Perayaan adalah berasingan daripada Perjanjian Kolektif, mereka mengguna pakai taktik sifar perbincangan terhadap pusingan CA terkini.”

“Secara efektif, apa yang mereka lakukan adalah mencampuradukkan dua isu berasingan menjadi satu, seterusnya mewujudkan gambaran bahawa mereka tidak boleh bergerak ke depan dalam mana-mana isu itu, tanpa campur tangan mahkamah.”

Memanipulasi Peraturan untuk Memenuhi Nafsu Bank

Meskipun adanya kes di mahkamah, Solomon membangkitkan betapa tidak masuk akal pada ketika ini untuk melayan CA sebagai satu pertikaian.

“Mereka memanjangkan Perjanjian Kolektif kepada mahkamah tanpa memulakan rundingan dengan kami. Soalan saya adalah: Apa yang ada untuk dipertikaikan, sedangkan kita belum pun mula berbincang?”

Bawah: Joseph Solomon,
setiausaha agung NUBE

Ketua NUBE itu juga terkejut betapa cepatnya isu itu sampai ke peringkat tertinggi dalam hierarki rasmi.

“Sebelum ketua pengarah perhubungan perindustrian dapat memberi maklum balas kepada jawapan kami mengenai CA, mahkamah telah menulis kepada kami mengatakan perkara itu telah dirujuk kepada pihak mereka. Ini tidak pernah berlaku. Keterdesakan dan gesa-gesa dalam isu ini amat sukar dipercayai.”

Sementara itu, tindakan NUBE memfailkan kes di Mahkamah Perusahaan, memetik kegagalan MCBA mematuhi proses CA, langsung tidak menunjukkan pergerakan.

“Apa yang mengejutkan saya adalah kenapa majikan dalam sektor perbankan – yang merangkumi syarikat berkait kerajaan seperti Maybank, CIMB dan RHB – mengambil tindakan begitu jahat dan mengeksploitasi pekerja mereka, dan kenapa pula kementerian begitu bersikap akomodatif dalam misi mereka mempersenjatai proses itu?” soal Solomon. “Mengapakah keseluruhan jentera yang ada memanipulasi peraturannya untuk memenuhi nafsu majikan perbankan?”

Sejarah CA: Kebijaksanaan, Bukan Kekuatan, Akan Menang di Mahkamah

CA yang menunggu rundingan adalah yang ke-20 sejak bank dan pekerja yang menjadi ahli kesatuan di negara ini mula membuat persetujuan setiap tiga tahun mengenai isu penggajian dan keadaan bekerja lain.

Rekod NUBE menunjukkan proses rundingan tidak pernah mudah, tidak kira bagaimana hubungan antara pegawai kesatuan dan eksekutif dalam unit HR serta C-suite bank. Walaupun keadaan sekarang malah lebih bermusuhan, hubungan antara mereka lazimnya lebih damai sepanjang dekad lalu.

Bagaimanapun, Solomon tidak mengharapkan penyelesaian cepat terhadap masalah perundangan yang kini membelenggu.

Apabila dua pihak bertemu pada hari pertama prosiding CA di mahkamah, NUBE memohon maklumat mengenai semua manfaat pengurus kanan di bank-bank, selain manfaat dinikmati CEO mereka. Peguam MCBA membantah “permohonan penzahiran” oleh pihak kesatuan, dan mahkamah meminta NUBE memberi justifikasi permohonannya – bererti lebih masa diperlukan sebelum perbicaraan sebenar dapat dimulakan.

“Dengan membawa CA ini ke mahkamah, MCBA mewujudkan proses sampingan yang menangguhkan tindakan pemampasan bagi kos sara hidup semakin meningkat yang dihadapi ahli kami, sedangkan wujud sistem dipersetujui bersama dan mengikut undang-undang untuk berbuat demikian; rundingan yang diadakan setiap tiga tahun,” kata Solomon. “Dalam keadaan sekarang pun, kita sudah tertangguh setahun dalam proses rundingan yang sepatutnya dimulakan. Adakah ini yang MCAB mahukan? Tempoh penyeksaan lama untuk pekerjanya? Dan mengapakah menteri begitu gopoh memasukkannya dalam sistem tanpa mematuhi proses perdamaian yang disediakan mengikut undang-undang.”

Malah keseluruhan proses mahkamah boleh berlanjutan untuk tempoh lama, katanya.

“Sepatutnya perunding dari pihak kesatuan dan bank membuat kerja mereka di meja perbincangan, sebaliknya peguam dari kedua-dua pihak kini akan membentangkan cadangan, dengan pengerusi Mahkamah Perusahaan bertindak sebagai timbang tara.”

“Sekalipun Mahkamah Perindustrian memberi keputusan yang memihak kepada kami, pihak bank boleh memprotes ke Mahkamah Tinggi. Kami akan melakukan perkara sama sekiranya keputusan tidak memihak kepada kami, dan isu itu mampu pergi lebih jauh lagi, ke Mahkamah Rayuan, dan akhirnya, Mahkamah Persekutuan.”

Bagaimanapun, ketua NUBE itu cukup optimis bahawa kebijaksanaan dan bukan kekuatan pasti akan menang akhirnya. Contoh terbaik: Kali terakhir CA dibawa ke Mahkamah Perusahaan adalah 15 tahun lalu dan akhirnya ketika itu ia diselesaikan di luar mahkamah.

Ini mencetuskan satu lagi peribahasa popular dalam masyarakat kita: “Sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.”

Secara asasnya ia bermaksud, tidak kira betapa muslihat digunakan MCBA dalam perancangan mereka, mereka berpotensi hancur berderai di meja pengadilan.

* Artikel NUBE ini percuma untuk dipetik, dikongsikan dan diterbitkan semula



 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my