NUBE: Mengapa Kuasa Pelantikan Hakim Industri Oleh Menteri Sumber Manusia Boleh Mengancam Hak Pekerja Bank

Hujah terkini Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat tentang bagaimana kuasa Perdana Menteri untuk melantik para hakim boleh menjejaskan persepsi keadilan di Malaysia amat selari dengan kebimbangan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE).
Tumpuan Yang Arif Tengku Maimun, jika diteliti, adalah pada sistem kehakiman yang lebih luas. Ini termasuk cadangan-cadangan yang dialu-alukan untuk melindung sistem tersebut daripada pengaruh politik yang melibatkan prerogatif tunggal Perdana Menteri untuk melantik hakim. Namun, NUBE menegaskan dengan keyakinan yang tidak berbelah bahagi bahawa prinsip ketidakberpihakan ini adalah lebih kritikal apabila melibatkan pelantikan Presiden dan Pengerusi Mahkamah Perusahaan.
Selama beberapa dekad, pekerja bank Malaysia, yang diwakili oleh NUBE, telah mencari penyelesaian dan keadilan di dalam Mahkamah Perusahaan, sebuah tribunal penting yang ditubuhkan untuk menjadi pengantara dan menghakimi pertikaian antara majikan dan pekerja.
Prerogatif Menteri Sumber Manusia Steven Sim untuk melantik ketua dan pengadil lain badan kehakiman penting ini untuk tempoh 4 tahun dan dilanjutkan selepas itu atas budi bicara Menteri, tidak memberikan jaminan jawatan kepada pengadil-pengadil ini.
Lebih penting lagi, ia mewujudkan persepsi berat sebelah dalam perkara-perkara di mana penglibatan Menteri dalam suatu isu menjadi subjek pertikaian.
Terdapat merit dalam kebimbangan ini kerana terdapat kejadian di mana sebelum ini, Menteri tidak melanjutkan kontrak beberapa pengerusi Mahkamah Perusahaan.
Pelantikan Presiden dan Pengerusi Mahkamah Perusahaan mesti dilakukan oleh suruhanjaya bebas dan bukan oleh Menteri. Mesti ada jaminan jawatan untuk Pengerusi-pengerusi ini dan pemecatan mereka, jika perlu, mesti ditetapkan.
Sikap Menteri Sumber Manusia pada masakini, Steven Sim, untuk mementingkan kesatuan MCBA lebih daripada perkerja bank — dan kuasanya untuk melantik pemegang jawatan Mahkamah Perusahaan — telah mempengaruhi bank-bank untuk menghentikan pembayaran Bantuan Perayaan (FA) tahunan kepada pekerja dan juga melambatkan perundingan Perjanjian Kolektif (CA) mengenai gaji dan faedah-faedah lain mereka.
Hujah untuk menghapuskan kuasa pelantikan tunggal Perdana Menteri untuk hakim, seperti yang diperjuangkan oleh Ketua Hakim Negara, berpunca daripada keperluan untuk menghapuskan sebarang persepsi campur tangan politik.
Logik ini lebih mendesak untuk Mahkamah Perusahaan — di mana Menteri dan Jabatan Perhubungan Perusahaan berhadapan dengan aduan-aduan yang sah mengenai pampasan, pelanggaran perjanjian kolektif dan pemecatan tidak adil dan pengadil-pengadil Mahkamah Perusahaan mesti dapat membuat keputusan mengenai perkara-perkara ini tanpa sebarang kebimbangan mengenai keselamatan pekerjaan mereka.
Menghapuskan prerogatif Menteri Sumber Manusia dalam menentukan komposisi Mahkamah Perusahaan bukan sahaja akan menjadi perubahan prosedur; ia akan menjadi keperluan asas untuk memastikan bahawa Mahkamah Perusahaan dianggap sebagai badan yang benar-benar bebas tanpa sebarang pengaruh eksekutif.