KEPUTUSAN MAHKAMAH PERUSAHAAN MENJADIKAN DIALOG SOSIAL SUATU SINDIRAN
Dialog Sosial: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mentakrifkannya sebagai instrumen utama bagi tadbir urus yang baik, piawaian buruh yang adil dan hubungan perusahaan yang harmoni.
NUBE telah merundingkan instrumen penting ini untuk dimasukkan sebagai Artikel 42—DIALOG SOSIAL dalam Perjanjian Kolektif MCBA/NUBE Ke-19 (CA Ke-19), yang memperuntukkan:
“Di dalam kepentingan keharmonian industri, bagi memupuk pemahaman dan hubungan kerja yang lebih baik di antara pihak Bank dan pihak Kesatuan, pihak Bank harus mengadakan Dialog Sosial sekurang-kurangnya sekali di dalam masa enam (6) bulan bagi berbincang dengan pihak Kesatuan tentang perkara-perkara yang berkaitan.”
CA Ke-19 telah diberikan pengiktirafan oleh Mahkamah Perusahaan pada April 2023 dan mengikat semua pihak. Pada tahun 2023, bank-bank meminta agar Dialog Sosial ditangguhkan sehingga tahun 2024 kerana mereka memerlukan masa untuk membuat persediaan bagi pelaksanaan Artikel baharu ini. Atas dasar niat baik, NUBE bersetuju.
Namun, apabila NUBE meminta bank-bank mengadakan Dialog Sosial pada tahun 2024, bermula dengan isu Bantuan Perayaan (FA), mereka enggan dengan alasan bahawa NUBE telah memulakan tindakan perusahaan. Susulan itu, NUBE memfailkan aduan ketidakpatuhan di Mahkamah Perusahaan.
Dalam keputusannya, Mahkamah Perusahaan—yang bersidang dengan Presiden Mahkamah Perusahaan serta dua anggota panel, masing-masing mewakili pekerja dan majikan sekadar mengakui bahawa peruntukan Dialog Sosial dalam CA Ke-19 adalah mandatori.
Namun, dalam bahagian lain keputusannya, Mahkamah Perusahaan menerima sepenuhnya alasan yang dikemukakan oleh bank-bank bagi kegagalan mereka mematuhi Artikel 42.
Mahkamah Perusahaan menerima dakwaan bank-bank bahawa Dialog Sosial tidak perlu diadakan ketika tindakan perusahaan sedang berlangsung, walaupun tiada pengecualian atau syarat sedemikian terkandung dalam CA.
Mahkamah Perusahaan turut menerima dakwaan bank-bank bahawa Dialog Sosial hanya boleh diadakan selepas tamat tempoh enam bulan. Tafsiran ini bercanggah dengan maksud biasa dan jelas Artikel 42. Dengan berbuat demikian, Mahkamah Perusahaan telah menjejaskan pelaksanaan Artikel penting ini serta menghilangkan maksud dan tujuan asalnya.
Kebimbangan NUBE
Mahkamah telah mewujudkan suatu syarat yang tidak terkandung dalam CA dengan menerima hujah bank-bank bahawa Dialog Sosial tidak perlu diadakan ketika tindakan perusahaan sedang berlangsung. Hakikatnya, CA tidak mengandungi sebarang pengecualian atau syarat sedemikian.
Mahkamah tidak sepatutnya memasukkan syarat yang tidak pernah dipersetujui oleh pihak-pihak semata-mata untuk memihak kepada majikan.
NUBE amat bimbang dengan alasan tersebut kerana Dialog Sosial paling diperlukan apabila berlakunya pertikaian.
Malah, negara-negara yang sedang berperang masih meneruskan dialog untuk menyelesaikan pertikaian dan mencegah kemudaratan selanjutnya. Begitu juga, Dialog Sosial antara kesatuan dan majikan menjadi semakin penting dan bukannya kurang penting, apabila hubungan perusahaan berada dalam keadaan tegang.
Penerimaan alasan bank-bank bahawa pertikaian perusahaan boleh digunakan untuk menolak Dialog Sosial menggagalkan tujuan sebenar peruntukan tersebut, iaitu untuk menyelesaikan salah faham, mengurangkan konflik dan memelihara keharmonian perusahaan.
Campur Tangan Mahkamah Perusahaan
Mahkamah Perusahaan telah campur tangan dan mengubah maksud CA Ke-19 bagi membantu bank-bank mewajarkan ketidakpatuhan mereka.
Frasa “sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan” tidak bermaksud “hanya selepas tamat enam bulan”. Penerimaan Mahkamah terhadap hujah bank-bank bahawa Dialog Sosial hanya boleh diadakan selepas tamat tempoh enam bulan bercanggah dengan maksud biasa dan jelas Artikel 42.
Frasa tersebut menetapkan jarak masa maksimum antara setiap Dialog Sosial. Ia tidak menghendaki pihak-pihak menunggu sehingga enam bulan tamat sebelum mengadakannya. Dialog boleh diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut—dan lebih kerap sekiranya keadaan memerlukannya.
Tambahan pula, bank-bank tidak pernah memaklumkan kepada NUBE bahawa perkara ini merupakan alasan mereka menolak Dialog Sosial. Lebih penting lagi, bank-bank tetap tidak mengadakan Dialog Sosial walaupun selepas tempoh enam bulan pada tahun tersebut.
Dengan menerima alasan yang dikemukakan terkemudian itu, Mahkamah Perusahaan secara tidak langsung telah menulis semula Artikel 42 bagi memihak kepada bank-bank. Mahkamah seolah-olah bersusah payah mencari alasan untuk mewajarkan ketidakpatuhan bank-bank, bukannya menguatkuasakan Artikel tersebut.
Hal ini menimbulkan persoalan asas: Adakah Mahkamah telah bertindak berdasarkan ekuiti, perasaan hati nurani yang baik dan merit utama kes tersebut?
Mahkamah Perusahaan Tersalah Menggunakan Prosedur Aduan Pekerja
Artikel 42: Dialog Sosial mengawal hubungan antara NUBE dengan bank-bank atau antara NUBE dengan MCBA. Artikel ini tidak melibatkan hubungan antara seseorang pekerja dengan bank. NUBE ialah sebuah kesatuan sekerja, bukannya pekerja MCBA, dan oleh itu tidak boleh menggunakan prosedur aduan pekerja terhadap MCBA.
Namun, Presiden Mahkamah Perusahaan bersama anggota panelnya memutuskan bahawa NUBE sepatutnya menggunakan prosedur aduan pekerja. Alasan sedemikian jelas menyalahtafsir hubungan antara pihak-pihak dan menimbulkan kebimbangan serius terhadap pemahaman Mahkamah dalam mengendalikan kes ketidakpatuhan.
Mahkamah Perusahaan Gagal Menguatkuasakan Dialog Sosial Mandatori
Walaupun Artikel 42 jelas dan segala bukti telah dikemukakan, Presiden Mahkamah Perusahaan bersama anggota panelnya tidak mengarahkan bank-bank mematuhi perjanjian tersebut.
Sebaliknya, Mahkamah Perusahaan menerima alasan tidak munasabah bank-bank bagi ketidakpatuhan mereka terhadap Artikel 42. Keputusan ini menjejaskan tujuan asas sesuatu aduan ketidakpatuhan, iaitu untuk menentukan sama ada terma yang mengikat dalam sesuatu Award telah dipatuhi dan, jika tidak, memberikan remedi yang berkesan—lebih-lebih lagi apabila terma tersebut bersifat mandatori.
Dialog Sosial yang mandatori tidak boleh dianggap sebagai pilihan semata-mata kerana bank-bank menganggapnya menyusahkan.
Sesuatu terma mandatori menjadi tidak bermakna jika mana-mana pihak dibenarkan mengabaikannya. Keadaan ini menjadikan peruntukan tersebut sia-sia dan mempermainkan kewajipan kontrak yang telah diberikan pengiktirafan oleh Mahkamah serta wajib dikuatkuasakannya.
Keadilan yang Ditangguhkan ialah Keadilan yang Dinafikan
NUBE memfailkan aduan ketidakpatuhan pada 5 Jun 2024. Perbicaraan diadakan pada 25 dan 26 Ogos 2025, manakala penghujahan bertulis difailkan pada 4 November dan 22 Disember 2025.
Walaupun kes ini bersifat mudah dan jelas, Mahkamah Perusahaan mengambil masa hampir tujuh bulan selepas penghujahan bertulis terakhir untuk menyampaikan Award.
Award tersebut disampaikan oleh Presiden Mahkamah Perusahaan pada hari terakhir beliau bertugas.
NUBE terpaksa menunggu hampir dua tahun untuk menerima keputusan yang tidak memihak kepadanya dalam kes ketidakpatuhan yang mudah—dan keputusan itu pula disampaikan hampir tujuh bulan selepas penghujahan bertulis terakhir.
Hal ini menimbulkan persoalan asas: Adakah Mahkamah telah bertindak berdasarkan ekuiti, perasaan hati nurani yang baik dan merit utama kes tersebut?
Apabila sesuatu kes ketidakpatuhan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibicarakan dan berbulan-bulan lagi untuk diputuskan, pekerja dinafikan penyelesaian yang bermakna dan tepat pada masanya. Keadilan yang ditangguhkan ialah keadilan yang dinafikan.
Siasatan Perlu Dilaksanakan
Mahkamah Perusahaan ialah tribunal utama bagi pekerja dan kesatuan sekerja mendapatkan keadilan. Oleh itu, amat penting untuk Mahkamah Perusahaan menangani setiap kes dengan serius serta membuat keputusan berdasarkan ekuiti dan perasaan hati nurani yang baik.
Mahkamah Perusahaan mestilah kekal kompeten, bebas dan tidak memihak dalam melaksanakan keadilan perusahaan.
Mahkamah Perusahaan juga mesti menyediakan akses kepada keadilan yang mudah dicapai, mampu dibiayai dan berkesan untuk pekerja—bukannya memanjangkan proses litigasi.
Selain beberapa Pengerusi Mahkamah Perusahaan yang wajar dipuji, mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan keadilan perusahaan—termasuk mantan Presiden Mahkamah Perusahaan—harus diingatkan tentang prinsip perundangan sosial yang dinyatakan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat:
“(31) Semua perundangan bersifat sosial kerana digubal oleh badan yang dipilih oleh rakyat. Namun begitu, bukan semua perundangan merupakan ‘perundangan sosial’. Perundangan sosial ialah istilah undang-undang bagi suatu kumpulan undang-undang tertentu yang diluluskan oleh badan perundangan untuk mengawal hubungan antara golongan yang lebih lemah dengan golongan yang lebih kuat. Memandangkan satu pihak sentiasa mempunyai kelebihan berbanding pihak yang lain akibat ketidakseimbangan kuasa tawar-menawar, Kerajaan perlu campur tangan untuk mengimbangi neraca keadilan dengan menyediakan perlindungan statutori tertentu kepada golongan yang lebih lemah. Contoh yang jelas dan serupa ialah cara Mahkamah ini mentafsirkan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dalam kes Hoh Kiang Ngan v Mahkamah Perusahaan Malaysia & Anor [1995] 3 MLJ 369 (Hoh Kiang Ngan).”
Terjemahan petikan penghakiman daripada bahasa Inggeris.
Keperluan untuk Reformasi Segera
Kekurangan dari segi kompetensi Mahkamah Perusahaan meletakkan pekerja dan kesatuan sekerja pada risiko dinafikan keadilan apabila pertikaian diputuskan tanpa pemahaman yang sewajarnya tentang Perjanjian Kolektif, perlindungan undang-undang terhadap kesatuan sekerja, Konvensyen dan Syor Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), serta hak asasi manusia.
Apabila majikan tidak dipertanggungjawabkan atas pelanggaran Perjanjian Kolektif yang mengikat, pekerja bukan sahaja kehilangan perlindungan kontrak, malah keyakinan terhadap institusi yang ditubuhkan untuk melindungi mereka.
Kelemahan dalam sistem keadilan perusahaan turut menyumbang kepada perundingan kolektif yang lemah, gaji rendah dan jurang ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar. Kebimbangan ini telah menghakis keyakinan pekerja dan kesatuan sekerja terhadap sistem tersebut.
Oleh itu, kebimbangan ini perlu disiasat dan reformasi segera terhadap Mahkamah Perusahaan mesti dilaksanakan.
Walaupun semakan kehakiman mungkin tersedia, prosiding di mahkamah atasan adalah mahal dan mengambil masa yang panjang. Majikan mampu mendapatkan khidmat peguam mahal untuk mempertahankan kepentingan mereka, tetapi tidak semua pekerja dan kesatuan mempunyai sumber untuk mencabar keputusan yang tidak adil. Pada pandangan NUBE, tiada pekerja atau kesatuan sekerja sepatutnya dibiarkan berhadapan dengan ketidakadilan sedemikian.
Langkah perlindungan mesti diperkukuh bagi memastikan setiap Presiden, Pengerusi dan anggota panel bertindak secara bebas, kompeten serta berdasarkan ekuiti, perasaan hati nurani yang baik dan merit utama setiap kes.
Pelantikan pegawai Mahkamah Perusahaan melalui budi bicara eksekutif atau Menteri juga perlu dikaji semula. Pentadbiran Mahkamah Perusahaan memerlukan semakan yang menyeluruh dan segera.
Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti dilihat telah dilaksanakan. Sebuah suruhanjaya bebas perlu ditubuhkan untuk mengendalikan pelantikan Presiden dan Pengerusi Mahkamah Perusahaan.
Saluran yang bebas, telus dan mudah diakses juga mesti diwujudkan bagi membolehkan pekerja dan kesatuan sekerja membuat aduan rasmi berhubung kelewatan melampau, ketidakaturan prosedur atau sebarang tindakan yang dilihat bertentangan dengan prinsip ekuiti dan perasaan hati nurani yang baik.
Kesimpulan
Akta Perhubungan Perusahaan 1967 merupakan perundangan sosial yang bertujuan mengimbangi ketidaksamaan kuasa tawar-menawar antara majikan dengan pekerja. Mahkamah Perusahaan mesti melaksanakannya selaras dengan tujuan perlindungan tersebut.
Namun, apabila NUBE membangkitkan kebimbangan ini, Menteri Sumber Manusia seperti biasa tidak memberikan sebarang maklum balas.
NUBE tidak mahu Mahkamah Perusahaan kehilangan kredibiliti dalam kalangan pekerja dan kesatuan sekerja. Kami mahu memulihkan keyakinan terhadap institusi penting ini supaya hak asasi pekerja dan kesatuan sekerja dilindungi serta tidak dinafikan secara tidak adil.
Likes Comments





To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now