12 Sep 2026

BERITA NUBE

 

GAJI CEO SEHARI RM177,000. TAPI 22.4% UNTUK PEKERJA DIKATA TERLALU TINGGI?


Semalam kita bertanya: Bank untung berbilion. Pekerja ikat perut. Siapa yang makan besar?

Hari ini, mari kita lihat angkanya. 

Pada 2025, Public Bank mencatat keuntungan bersih RM7.22 bilion. Jumlah gaji dan ganjaran MD/CEOnya, Tan Sri Tay Ah Lek, pula mencecah kira-kira RM64.76 juta setahun.

Itu bersamaan kira-kira RM5.4 juta sebulan atau RM177,000 sehari.

RM177,000. SEHARI.

Dan Public Bank bukan satu-satunya. Lihat pula gaji CEO Public Bank serta gaji CEO beberapa bank yang memegang kedudukan dalam EXCO MCBA:

GAJI SEHARI CEO BANK

  • CEO Public Bank: ~RM177,000 sehari
  • CEO Maybank: ~RM41,000 sehari
  • CEO CIMB: ~RM32,000 sehari
  • CEO RHB: ~RM25,000 sehari

NUBE tidak cemburu. Kami juga tidak meminta pekerja dibayar seperti CEO. Kami cuma mahu pekerja dibayar dengan adil. 

Tetapi di sinilah persoalannya menjadi lebih menarik.

Dari 2023 hingga 2025, jumlah gaji dan ganjaran CEO Public Bank meningkat kira-kira 22.7%, Maybank sekitar 20.3%, manakala RHB sekitar 52.9%.

Kalau prestasi dan nilai mereka yang berada di atas meningkat, bank tahu bagaimana untuk memberi ganjaran. 

Tetapi apabila pekerja yang membantu menjana keuntungan berbilion ringgit menuntut pelarasan gaji sekitar 22.4% melalui CA20, MCBA menawarkan 9% dan bercakap tentang “market rate”. 

JADI “MARKET RATE” ITU UNTUK SIAPA?

Semalam, seorang ahli NUBE memberitahu kita bahawa selepas membayar rumah, kereta, bil dan keperluan keluarga, ada kalanya hujung bulan dia terpaksa ikat perut.

Hari ini kita melihat bahawa di bahagian atas, gaji dan ganjaran boleh mencecah puluhan ribu, malah lebih RM100,000 dalam sehari. 

Sekali lagi, ini bukan soal cemburu terhadap CEO. Ini soal keadilan, nilai pekerja dan bagaimana kekayaan yang dicipta dalam industri perbankan diagihkan. 

Pekerja membantu menjana keuntungan bank setiap hari. Tetapi apabila tiba masa menghargai mereka, mengapa 9% dianggap mencukupi? Pekerja bukan meminta kemewahan. Mereka cuma menuntut bahagian yang adil daripada kekayaan yang mereka bantu cipta.

Semakin kita melihat angka ini, semakin sukar persoalan ini dielakkan:

Siapa yang dihargai, siapa yang diminta terus bersabar, dan siapa sebenarnya yang makan besar?

BANK TIPU KITA!
Ketahui. Bersatu. Bersuara.

Perpaduan adalah Kekuatan. Kekuatan adalah Kemenangan.

#BankTipuKita #NUBE #CA20 #GajiAdil #GajiWajar #HakPekerja #SuaraPekerja #PekerjaBank #KeadilanPekerja #MaruahPekerja #JelajahNUBE #FairWages #FairPay #WorkersRights #WorkersVoice #BankWorkers #WorkersDignity #WorkersJustice #WorkerSolidarity #UnionStrong #UnityIsStrength #PublicBank #Maybank #CIMB #RHB #MADANI

 

 

Likes Comments

 

To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now

 

 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my