Kerajaan digesa berikan jaminan kerja kepada doktor kontrak
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Cawangan Selangor menggesa Kementerian Kesihatan dan Kerajaan supaya dengan segera mengambil pendekatan terbaik bagi menyelesaikan isu membabitkan doktor-doktor kontrak.
Pada masa sama, Kerajaan perlu memastikan bahawa jaminan kerja dan perlindungan membabitkan doktor-doktor terbabit turut diberi keutamaan kata Setiausahanya, Mohd Faisal Husin dalam satu kenyataannya di sini.
MTUC Cawangan Selangor turut bersimpati dengan tindakan ratusan doktor kontrak di seluruh negara menyertai kempen hartal atau mogok kerja, antaranya bagi menuntut penyerapan ke jawatan tetap, pada hari ini.
Mohd Faisal berkata, doktor kontrak yang terbabit telah memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat sebagai barisan hadapan kesihatan selama lebih dari satu tahun.
“Mereka telah menyaksikan banyak kematian dan pesakit yang bertarung, dan telah mempertaruhkan nyawa dan keluarga mereka, bahkan bekerja secara berterusan lebih 24 jam. Sudah pasti keadaan telah menjadi parah sehingga mereka terpaksa mengambil tindakan kolektif yang disaksikan hari ini.
“Kami mendapati perlindungan sosial mereka telah dinafikan dan ini merupakan pelanggaran hak asasi manusia. Kerajaan seharusnya memberikan jaminan pekerjaan kerana ia adalah perlindungan sosial yang sangat penting,” kata Mohd Faisal.
Kerajaan sepatutnya menjadikan mereka pekerja tetap sebagai contoh yang baik kepada sektor swasta.
Beliau berkata, negara memerlukan doktor ini setiap hari, dan Kerajaan tidak wajar melarikan diri daripada tanggungjawabnya untuk memberikan punca pencarian yang layak kepada graduan muda.
“Malaysia harus bernasib baik kerana kita mempunyai doktor sedangkan beberapa buah negara sedang bekerja keras untuk mempunyai doktor yang mencukupi bagi menguruskan keadaan semasa,” jelas beliau.
MTUC Selangor meminta Kerajaan agar tidak mengamalkan taktik atau pendekatan buruk iaitu menggunakan doktor apabila diperlukan dan membuang mereka bila tidak diperlukan lagi.
Mohd Faisal menambah, sudah tiba masanya juga bagi Kerajaan mengkaji nasib keseluruhan pekerja-pekerja kontrak di agensi kerajaan di seluruh negara, yang turut membabitkan sektor-sektor yang lain.
Berikut kenyataan penuh MTUC Selangor.
Likes Comments
To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now