Kisah Kejayaan Ahli: Melindungi Hak dan Keselamatan di Tempat Kerja
Kisah Kejayaan Ahli: Melindungi Hak dan Keselamatan di Tempat Kerja
Pada tahun 2023, saudara Hazizi bin Zamzuri, seorang ahli NUBE dan juga IRC (Inter Relation Committee), menghadapi situasi yang mencabar di tempat kerjanya di RHB SOHO. Saudara Hazizi telah membantu seorang ahli yang mengalami masalah dengan seorang pegawai di cawangan beliau. Namun, tindakan beliau membantu ahli tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati pegawai berkenaan.
Pegawai tersebut mengambil tindakan yang tidak sepatutnya dengan mengunakan suaminya untuk mengugut saudara Hazizi di premis bank. Suaminya bertindak seolah-olah gangster, mengugut untuk mencederakan saudara Hazizi sebaik sahaja beliau keluar dari premis bank.
Saudara Hazizi bertindak dengan bijak dan segera menghubungi NUBE Cawangan Perak untuk memaklumkan situasi beliau. Pegawai NUBE segera bergerak ke cawangan tersebut dan mengiringi saudara Hazizi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan terhadap suami pegawai tersebut.
Pihak polis telah mengambil laporan beliau dan bertindak dengan memanggil suami pegawai tersebut dan memberi amaran keras serta mengawasinya. Mereka juga telah memberikan jaminan kepada keselamatan saudara Hazizi.
Lanjutan daripada insiden ini, saudara Hazizi dinasihatkan oleh Pegawai NUBE Perak untuk membuat aduan grievance seperti termaktub dalam Artikel 4 Perjanjian Kolektif MCBA/NUBE. Isu ini amat serius dan NUBE tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak khususnya pegawai yang mengamalkan gangsterism di mana keselamatan ahli telah terancam. Isu ini telah dibawa ke peringkat cawangan dan tindakan telah diambil. Pegawai yang terlibat telah dikeluarkan serta merta dari cawangan tersebut.
Kisah saudara Hazizi adalah contoh yang jelas tentang bagaimana NUBE sentiasa bersedia untuk melindungi ahli-ahlinya daripada ancaman dan ketidakadilan di tempat kerja. Keberanian dan ketabahan saudara Hazizi, bersama sokongan dan tindakan pantas dari NUBE Perak, menunjukkan kekuatan perpaduan dan solidariti kita sebagai sebuah kesatuan.
NUBE akan terus berdiri teguh bersama ahli-ahli untuk memastikan hak dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara. Teruskan menyokong dan menyertai NUBE untuk masa depan yang lebih cerah dan adil untuk semua pekerja bank di Malaysia.
#NUBE #KisahKejayaanAhli #Solidariti #PerlindunganHak #KeselamatanTempatKerja #KamiBersamaAnda
Likes Comments
To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now