24 Aug 2024

BERITA NUBE

 

Mangsa Gangguan Seksual Dihukum Sementara Pelaku Terus Bebas

NUBE sedang memperjuangkan keadilan bagi seorang pekerja bank wanita dari Maybank Bercham, Ipoh, yang telah berulang kali diganggu, diintimidasi, dan akhirnya digantung kerja pada 20 Ogos 2024 kerana melaporkan bahawa dia telah menjadi mangsa gangguan seksual.

 

Pekerja bank wanita tersebut telah berulang kali menjadi mangsa gangguan dan buli, termasuk gangguan seksual oleh pegawai atasan lelakinya sejak 2021.  Meskipun banyak aduan telah dibuat, tiada tindakan tegas diambil oleh pengurusan Maybank.

 

Tidak tahan dengan gangguan dan ugutan yang dialami, mangsa telah membuat laporan kepada kesatuan baru-baru ini, dan akhirnya satu laporan polis dibuat pada 16 Ogos 2024 mengenai dakwaan gangguan seksual dan buli yang dilakukan oleh pegawai atasannya.

 

Pada hari yang sama, pihak bank telah menghantar surat kepada mangsa di mana mangsa diarah untuk menghadiri sesi temubual siasatan pada 20 Ogos 2024 berhubung dakwaannya.

 

Pada 19 Ogos 2024, mangsa telah memberi respon kepada bank dengan menyatakan bahawa beliau telah memfailkan laporan gangguan seksual pada 6 Oktober 2021 kepada pihak bank, namun tiada tindakan tegas diambil terhadap pelaku. Akibat tiada tindakan, mangsa terus diganggu.

 

Mangsa juga menyatakan bahawa beliau telah membuat empat aduan dan berharap agar ianya dapat diteruskan dengan penglibatan kesatuan sekerja, dan beliau tidak mahu memintas proses aduan dengan menghadiri temubual siasatan tersebut.

 

Namun, pada 20 Ogos 2024, mangsa menerima surat daripada pihak bank yang menyatakan bahawa keengganannya untuk menghadiri sesi temubual siasatan adalah "sama seperti tindakan menderhaka dan sengaja menentang pihak berkuasa."

 

Pihak bank kemudian membuat keputusan untuk menggantung mangsa sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak serta menghalang mangsa daripada memasuki premis kerja tanpa kebenaran daripada pihak atasan. Mangsa juga akan diletakkan pada separuh gaji untuk dua minggu pertama, dan selepas itu mangsa akan dikembalikan kepada gaji penuh.

 

"Mangsa gangguan seksual telah digantung kerja kerana beliau mahu pihak bank meneruskan perkara ini dengan kesatuannya (NUBE) kerana ia telah dibincangkan antara kesatuan peringkat negeri dan pihak pengurusan, namun tidak dapat diselesaikan, dan kini kes mangsa gangguan seksual berada di peringkat nasional.

 

"Daripada menyelesaikan kes ini dengan kesatuan, pihak bank, dalam percubaan terdesak untuk menakut-nakutkan mangsa, menjadikan mangsa sebagai sasaran. Ugutan ini dilakukan untuk menghalang ahli daripada mendapatkan khidmat perwakilan kesatuan," tegas Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon.

 

Solomon juga menyatakan bahawa gangguan seksual ini telah berlarutan sejak Mei 2021 apabila pegawai atasan mangsa menghantar mesej tidak senonoh meminta mangsa untuk tidur dengannya.

 

Pegawai atasan tersebut didakwa telah menghantar mesej meminta mangsa menemaninya "teman tido kt indra" dan turut menghantar pelekat lucah seorang lelaki berkain sarung dengan bahagian sulitnya digelapkan.

 

Pegawai tersebut juga didakwa menghantar gambar badan separuh bogel dan gambar berunsur lucah lain kepada mangsa.

 

"Walaupun aduan bertubi-tubi  dibuat kepada pihak atasan bank, tiada tindakan tegas diambil, dan pegawai atasan mangsa hanya diminta menghentikan perbuatannya.

 

"Wakil kesatuan kita dari Ipoh telah berjumpa dengan pihak-pihak yang terlibat dan pihak pengurusan bank, dan menyarankan agar pegawai atasan terbabit dikeluarkan daripada bank berkenaan.

 

"Namun, tiada tindakan diambil, dan dalam tindakan yang drastik, pihak bank kini menghukum mangsa, manakala tiada tindakan diambil terhadap pelaku," tambah Solomon.

 

Ini memberi gambaran bahawa terdapat kepincangan suasana kerja yang selamat bagi wanita di Maybank. Jika seseorang wanita tidak boleh bekerja di tempat yang selamat, maka Maybank telah menafikan hak asasi mereka untuk kesaksamaan.

 

Maybank adalah sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB). Sudah tiba masanya pemegang saham terbesar Maybank menghentikan tindakan berat sebelah yang dilakukan oleh pengurusan Maybank selain daripada banyak lagi tindakan Maybank yang menjurus ke arah kerosakan  kesatuan.

 

#WeFightInjustice #SolidarityNow #JusticeForVictims #StandUpSpeakOut #NUBEMalaysia #MaybankExposed #KitaLawanKetidakadilan #SolidaritiSekarang #KeadilanUntukMangsa #BersuaraMenentangPenindasan #NUBEMalaysia #MaybankTerbongkar #Maybank #PNB #EPF #KWSP #MADANI #PMO #PMX #AnwarIbrahim

 

 

Likes Comments

 

To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now

 

 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at [email protected]