04 May 2025

BERITA NUBE

 

Steven Sim: Menteri Pekerja atau Menteri Kapitalis?

Pada sambutan Hari Pekerja 1 Mei 2025 di Kuala Lumpur, wajah sebenar seorang Menteri Sumber Manusia semakin terserlah. Di sebalik retorik kononnya memperjuangkan “solidariti pekerja” dan mencipta lagu bertema pekerja sambil menggenggam dan mengangkat tangan penuh populis, realitinya adalah satu pengkhianatan terhadap prinsip keadilan sosial dan hak kesatuan sekerja.

Steven Sim Chee Keong, menteri yang tampak fasih berbahasa Melayu dan kononnya mesra rakyat, kini memahat sejarah sebagai antara Menteri Sumber Manusia paling lemah dan berat sebelah dalam sejarah Malaysia moden. Beliau bukan sahaja gagal menangani isu penting seperti:

Campur tangan dalam perundingan NUBE dan MCBA tanpa keizinan kesatuan.

Menolak prinsip perundingan kolektif seperti termaktub dalam Konvensyen ILO.

Tidak mengambil tindakan terhadap gangguan seksual dan rasisme di tempat kerja.

Malah terus membisu dan tidak bertanggungjawab apabila surat rasmi tidak dijawab dan aduan kesatuan diketepikan begitu sahaja.

Lebih menyedihkan, beliau dikelilingi oleh pegawai-pegawai dari latar belakang politik yang sepatutnya memahami perjuangan pekerja, tetapi kini menjadi pembodek sistem yang memihak kepada kapitalis.

Laungan “Hidup Pekerja” oleh pegawai yang kononnya pernah aktif dalam kesatuan sekerja ini tidak ubah seperti wayang kulit – penuh gaya kosong tanpa isi. Daripada menjadi pembela pekerja, kini hanya menjadi pengampu menteri. Gimik murahan ini tidak dapat menutup hakikat sebenar: keberanian untuk menegakkan keadilan sudah lama hilang, ditelan selera politik dan kepentingan peribadi. Menteri dan pegawai seperti ini bukan sahaja tidak layak memegang amanah, malah menjadi liabiliti kepada pekerja negara.

Saya menyeru rakyat, khususnya para pengundi beliau, untuk membuka mata dan menilai prestasi sebenar beliau. Jangan tertipu dengan gaya ceramah penuh retorik, sedangkan tindakan nyata menteri ini penuh hipokrasi dan pengkhianatan terhadap pekerja Malaysia.

“Hidup Pekerja bukan alat propaganda! Kami bukan pentas lakonan menteri dan pembodek!”

Norsyahril Kamarudin

Pekerja Bank, Rakyat Malaysia

 

 

Likes Comments

 

To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now

 

 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my